Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaamualaikum apakah hukum saya repost video tiktok rakyat gaza yang sedang dalam kesusahan dan memohon sumbangan tetapi di dalam video itu kelihatan auratnya yang tidak ditutup dengan sempurna. Terima kasih tuan mufti
Jawapan
Secara asasnya, larangan menyebarkan gambar atau video yang tidak menutup aurat. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 31:
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka.
Adapun berkenaan isu Palestin yang berada dalam keadaan darurat disebabkan peperangan dan sangat memerlukan bantuan dari negara luar. Makanya ada sebaiknya video itu disunting terlebih dahulu dengan mengaburkan dan tangkap layar di bahagian yang sesuai.
Penekanannya adalah saluran bantuan kepada rakyat Palestin tanpa perlu menyebarkan keaiban meraka walaupun tujuannya adalah untuk kebaikan iaitu bantuan. Adalah lebih baik untuk berhati-hati dalam membuat sebaran umum khususnya yang tidak menutup aurat dan ia dilarang dalam Islam.
Sekian, terima kasih