BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustazah saya ada 2 soalan:

1) saya baru tahu meruang itu tak boleh di lakukan ketika puasa, walaupun untuk tujuan istinjak untuk bersihkan keputihan/kemaluan.

tapi saya sedikit berisi, kalau saya bercangkung pun, kadang bukan semua bibir faraj boleh terbuka kerana size badan saya. Adakah semua bahagian celahan dinding faraj boleh dikira zahir walaupun terlipat kerana size badan saya, dan hanya lubang faraj dikira bahagian batin faraj? Sebab saya nak bersihkan diri untuk solat, jadi kadang saya selak sedikit dinding dinding terlipat, tapi tidak sampai masukkan jari dalam lubang.

 

2. umur saya 26 tahun dan selama ini cara saya beristinjak memang saya akan meruang, atau masukkan sedikt jari pada qubul atau dubur bagi mengeluarkan sisa najis - keputihan/ tahi etc.

apakah saya wajib bayar fidyah and qada semua puasa saya daripada saya baligh hingga ramadhan terakhir?

 

terima kasih ustazah

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, perbuatan meruang ketika berpuasa adalah ditegah kerana ia boleh membatalkan puasa menurut pandangan muktamad mazhab Shafi’i. Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ Sharh al-Muhazzab menyatakan bahawa:

لَوْ أَدْخَلَ الرَّجُلُ أُصْبُعَهُ أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهُ أَوْ أَدْخَلَتْ الْمَرْأَةُ أُصْبُعَهَا أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهَا أَوْ قُبُلَهَا وَبَقِيَ الْبَعْضُ خَارِجًا بَطَلَ الصَّوْمُ بِاتِّفَاقِ أَصْحَابِنَا

Maksudnya: Jika seorang lelaki memasukkan jari atau selain daripada itu ke dalam dubur atau wanita memasukkan jari atau selain daripada itu ke dalam lubang qubul atau dubur walaupun anggota tangan yang lain berada di luar, maka puasa menjadi batal mengikut sepakat para ulama kami (mazhab Shafi’i).

Merujuk kepada persoalan:

1. Faraj wanita mempunyai had zahir dan had batin. Had batin yang dimaksudkan adalah bahagian yang terletak lebih dalam yang tidak wajib dibersihkan ketika beristinjak atau mandi wajib. Ia berdasarkan kepada kitab Majmu’ Sharh al-Muhazzab: 

وَيَلْزَمُ ‌الثَّيِّبَ ‌أَنْ ‌تُوَصِّلَ ‌الْحَجَرَ ‌إلَى ‌الْمَوْضِعِ ‌الَّذِي ‌يَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَيْهِ ‌فِي ‌غُسْلِ ‌الْجَنَابَةِ ‌وَيَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَى ‌مَا ‌يَظْهَرُ ‌عِنْدَ ‌جُلُوسِهَا ‌عَلَى ‌قَدَمَيْهَا ‌وَإِنْ ‌لَمْ ‌يَظْهَرْ ‌فِي ‌حَالِ ‌قِيَامِهَا… قَالَ أَصْحَابُنَا مَا وَرَاءَ هذا فهو في حكم الباطن فلا يكلف إيصَالَ الْمَاءِ وَالْحَجَرِ إلَيْهِ وَيَبْطُلُ الصَّوْمُ بِالْوَاصِلِ إلَيْهِ

Maksudnya: Wanita yang beristinjak untuk mengharuskan mandi wajib perlu membersihkan bahagian yang wajib dikenakan air semasa mandi junub iaitu bahagian yang kelihatan ketika duduk mencangkung walaupun bahagian tersebut tidak kelihatan ketika berdiri. Ulama mazhab Shafi‘i menjelaskan bahawa bahagian yang terletak lebih dalam daripada kawasan tersebut dianggap sebagai bahagian batin (dalaman) yang tidak diwajibkan untuk dikenakan air atau dibersihkan dengan batu ketika beristinjak. Justeru, jika sesuatu masuk ke dalam bahagian batin tersebut, maka puasa akan terbatal.

Manakala bibir faraj sama ada luar atau dalam (labia) dianggap sebagai had zahir faraj. Oleh itu, membasuh celahan atau lipatan bibir tersebut semasa beristinjak tidak membatalkan puasa. 

2. Mengenai persoalan yang diajukan tentang perbuatan meruang ketika puasa yang terdahulu, jika dilakukan kerana kejahilan, perbuatan tersebut adalah dimaafkan oleh syarak kerana dilakukan dalam keadaan tidak mengetahui hukum. Maka, tidak diwajibkan qada’ puasa yang terdahulu. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image