BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Adik saya (11 tahun) telah sakit dan muntah di sekeliling rumah termasuk karpet, sofa dan lantai dari ruang tamu, lalu di hadapan bilik sehingga ke dapur. Walaupun saya minta emak alirkan air, dia tidak percaya muntah itu najis dan perlu dibersihkan sehingga sebegitu. Walaupun saya bersihkan kawasan laluan ke bilik sedemikian, saya tak dapat lihat cara emak saya bersihkan sofa dan karpet. Saya tidak nampak ain najis setelah bersih tetapi jika saya duduk/pijak tempat tersebut dengan baju atau kulit basah, adakah najis? Saya tak pasti bahagian mana ruang tamu terkena muntah.

Selalu jadi sebegini di mana keluarga saya merasa saya melebih-lebih dalam pembersihan dan juga menjaga halal haram. Saya mempunyai masalah OCD waswas dan rasa sangat terbeban.

Terima kasih kerana sudi menjawab.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus suci jika tidak terdapat ain najis sama ada warna, bau atau rasa najis pada kawasan tersebut. Untuk menghukumkan sesuatu tempat itu sebagai bernajis, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan iaitu adanya sifat najis tersebut pada kawasan yang dimaksudkan. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqh:

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Asal hukum sesuatu perkara itu adalah suci.

Sehubungan itu,

1) Tidak najis pada pakaian atau tubuh badan yang basah apabila duduk di sofa kerana tiada ain najis padanya. Selagi tiada kepastian terdapatnya najis pada sofa tersebut, maka sofa tersebut kekal suci dan bersih. 

2) Selagi tiada najis pada kawasan rumah, maka ia kekal suci dan bersih daripada najis. Jika ia hanya sekadar andaian dan was-was, maka ia kembali kepada kaedah fiqh iaitu: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).

Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, maka tiada najis dan tempat lain tidak terkena najis. Islam tidak membebankan seseorang dengan perkara yang tidak jelas dan mengelakkan diri daripada perasaan was-was.

3) Selagi tidak diyakini telah terkena najis samada pada pakaian atau anggota badan, maka ia kekal suci dan bersih. Jika diyakini terkena najis, maka bersihkan najis terlebih dahulu seterusnya disucikan dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis sehingga hilang bau, rasa dan warna.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 26

message user image