Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum. Saya berdiri untuk solat sunat qabliyah subuh. Akan tetapi ketika takbiratul ihram, saya terniat dalam hati solat fardhu subuh. Selepas angkat takbir sebelum membaca al fatihah saya tersedar yang saya salah niat. Adakah solat saya sah sebagai solat fardhu atau saya perlu batalkan solat? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, niat merupakan rukun solat yang utama. Dengan niat juga dapat membezakan antara solat fardhu dan solat sunat yang ingin dikerjakan. Justeru, mengikut situasi yang puan alami maka solat puan dikira sah dan tidak perlu membatalkannya ketika itu. Hal ini kerana puan telah berniat untuk melakukan solat fardhu subuh dan niat tersebut telah sah di sisi syarak. Adapun puan tersedar akan niat solat tersebut ketika membaca al-Fatihah tidak memberi kesan kepada kesahihan solat tersebut.
Sekian, terima kasih.