Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz/ustazah
Soalan 1
Selepas proses sertu, perlukah di lakukan sertu pula pada segala peralatan yang telah di gunakan dan di sentuh seperti berus, penyapu, paip, singki, tangan, kaki, lantai dan pakaian yang terkena air, air tanah dan percikan nya ketika proses sertu walau pun tiada ain najis (sangat keliru dalam perkara ini).
Jika perkara perkara di atas perlu di sertu tetapi jika tidak di laku kan, adakah sebarang objek yang menyentuh nya perlu di sertu juga.
Soalan 2
Kejadian sudah berlaku belasan tahun dan sebelum ini tidak pernah terfikir akan masalah ini. Apakah hukum kita mengambil pekerja islam (indonesia) melalui agensi untuk membersihkan rumah kita sekali sekala di mana dia juga ada pergi membersihkan rumah orang non muslim yang membela anjing. Katanya dia tidak boleh membuat pilihan dan perlu patuh pada arahan agensi. Jika di rumah non muslim dia akan membersihkan kandang anjing ketika berkhidmat. Tidak pasti dia ada melakukan sertu atau tidak selepas itu.
Jawapan
Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Merujuk kepada persoalan puan,
1) Tidak perlu disertu segala peralatan, paip, singki, tangan, kaki, lantai dan pakaian apabila terkena percikan air semasa proses sertu dilaksanakan. Ini kerana tiada lagi najis pada segala peralatan tersebut yang perlu kepada sertu.
2) Hukumnya harus dan sah untuk mengambil pekerja Islam melalui agensi walaupun dia pernah membersihkan rumah non-Muslim yang membela anjing, selagi tidak ada bukti yang meyakini dia membawa najis mughallazah ke rumah puan, maka tidak perlu sertu dan ia kekal suci.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.