BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya telah melakukan satu kesalahan yang berat sehingga boleh dijatuhkan hukuman penjara, akan tetapi mangsa telah memberikan kemaafan kepada saya. Sebelum itu, saya telah bernazar, jika tidak dihukum penjara, saya mahu berhenti kerja, memberikan tanah kepada mangsa, membeli tanah berharga rm100,000 untuk diwakafkan dan bersedekah untuk pengajian seorang pelajar di universiti.

Setelah difikirkan secara baik, saya sebenarnya tidak mampu berhenti kerja kerana tiada pendapatan lain, tanah yang ada pula belum diselesaikan dengan penjual dan tiada pun duit untuk membeli tanah untuk diwafafkan kecuali beli dengan hutang. Cuma sekadar kemampuan saya, bersedekah untuk pelajar jika terus bekerja.

Soalan saya, bolehkah saya menarik balik 3 nazar dan melaksanakan nazar yang keempat sahaja. Jika boleh tarik nazar itu, apa kafarah yang saya boleh lakukan. terima kasih. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Nazar dari sudut istilah adalah: mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan atau mengaitkan dengan suatu perkara.

Terdapat tiga rukun nazar bagi memastikan ia adalah nazar yang sah iaitu:

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Antara rukun penting dalam nazar adalah sighah atau ucapan nazar, tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang mengucapkan: ‘’Untuk  Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut: ‘’Ke atas diriku perbuatan ibadah sekian-sekian (contoh puasa sunat, solat sunat)’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar atau ucapan nazar ini sebagai contoh adalah: ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). Oleh itu, jika hanya niat di dalam hati maka ia tidak menjadi nazar.

Wajib ke atas seseorang yang bernazar untuk melaksanakan nazar. Walau bagaimanapun, jika terdapat halangan untuk melaksanakan nazar yang diucapkan, maka wajib membayar kaffarah. 

Kaffarah ialah denda yang perlu dibayar berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ  تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur. Maka, bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. 

Oleh itu, berdasarkan persoalan yang diajukan dan juga nas-nas yang diterangkan maka, perlu dipastikan terlebih dahulu bahawa nazar yang diucapkan itu menepati rukun-rukun nazar, sekiranya tidak menepati salah satu dari rukun nazar maka nazar itu tidak sah dan tidak perlu membayar kaffarah.

Namun sekiranya diyakini nazar tersebut menepati rukun-rukun nazar kemudian tidak mampu untuk melaksanakan nazar yang dilafazkan maka wajib membayar kaffarah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah di atas iaitu:

  1. Membebaskan hamba (tidak terpakai pada masa kini).
  2. Memberikan makanan kepada sepuluh orang miskin, atau
  3. Memberikan pakaian kepada sepuluh orang miskin.

Sekiranya kesemua di atas tidak mampu dilakukan, barulah wajib berpuasa selama tiga hari. Memandangkan terdapat tiga nazar yang ditarik balik, maka kafarah hendaklah ditunaikan tiga kali, satu bagi setiap nazar.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image