BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Anak saya kahwin dah 6 tahun,tak ada anak.... ada masalah sikit dengan isterinya, isteri dia pergi tinggal rumah mak dia kat 3 minggu, anak saya ajak balik, dia tak nak..bagaimsna caranya nak satukan dia orang, tolong boleh bagi penjelasan. Terima kasih 


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Merujuk persoalan yang diajukan, terdapat beberapa cadangan yang boleh dilakukan tetapi yang paling utama ialah kedua belah pihak tidak menyalahkan antara satu sama lain. Selepas itu, ibu dan  bapa sebagai orang terdekat boleh membantu mereka dengan memberi sokongan kepada mereka. Antara perkara yang boleh dititikberatkan ialah:-

1)  Bantu mereka berkomunikasi dengan cara yang lebih selamat

Ibu atau bapa boleh berbincang dengan suami punca masalah yang berlaku dan jangan menyalahkan satu sama lain. Mungkin isteri keluar sebentar kerana tekanan emosi dan memerlukan masa dan ruang untuk pulih dari segala beban yang dirasakan. Seharusnya pihak suami memberi masa kepada isteri. Pihak suami juga dinasihatkan agar tidak menceritakan masalah yang berlaku kepada orang luar.

2) Boleh menghubungi menantu, tetapi dengan cara berhati-hati

Bagi pihak lelaki iaitu ibu mertua atau bapa mertua boleh juga cuba menghubungi pihak isteri atau isteri itu sendiri untuk bertanya khabar tetapi jangan terus menanyakan hal tersebut dikhuatiri isteri rasa makin terbeban dan tidak sedia untuk berkongsi apa yang dirasakan.

3) Galakkan mereka pergi kaunseling perkahwinan

Sebagai usaha lain, disarankan agar suami dan isteri tersebut pergi menghadiri sesi kaunseling yang berdaftar bagi membantu menyelesaikan isu ini. Selain itu, boleh juga pergi ke pejabat agama daerah iaitu bahagian undang-undang keluarga islam sebagai sokongan berkaitan isu ini. Jika kedua perkara yang disebutkan diatas terasa berat maka cubalah berjumpa dengan kenalan yang rapat untuk meluahkan perkara ini agar dapat menenagkan sesak didada menanggung sendiri. Seharusnya kenalan yang dipilih itu juga mestilah yang betul-betul boleh dipercayai dan diyakini kebaikannya. Ini kerana supaya tidak tersebarnya aib antara suami isteri ke pihak yang lain.

4) Tidak memaksa menantu balik sebelum dia (isteri) bersedia

Sebagai ibu dan bapa di pihak suami disarankan supaya tidak memaksa isteri balik segera kerumah tetapi memberi masa kepada dia untuk tenangkan fikiran. Disamping itu, ibu mertua boleh memberi kata-kata semangat yang membina dan kata-kata terdiri yang menghasilkan cara penyelesaian bukan tentang siapa menang atau siapa yang salah.

5) Membuat rawatan tentang masalah kesuburan

Apabila perhubungan suami isteri sudah semakin pulih, pujuklah isteri untuk pulang kerumah dengan rela hati. Setelah itu, dicadangkan untuk sama-sama pergi ke pakar kesuburan  seperti pakar O&G ataupun pusat kesuburan terdekat untuk mendapatkan penerangan dan rawatan sekiranya diperlukan. Selain itu, suami dan isteri hendaklah saling memberi sokongan agar rumahtangga kembali bahagia. Dinasihatkan juga agar pasangan sentiasa berdoa dan sabar dalam menghadapi segala ujian dalam rumahtangga.

6) Melalui cara ibadah pula, sentiasalah membaca Quran, berdoa kepada Allah dan solat hajat memohon kepada Allah agar dihilangkan permasalahan yang dihadapi, permudahkan segala usaha dan memberikan keberkatan kepada keluarga.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 53

message user image