Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.. Saya ingin bertanya. Saya dan suami telah bercerai dengan lafaz cerai di mahkamah. Kemudian suami ingin merujuk kembali. Tetapi, ketika masih di dalam perkahwinan, suami pernah melafazkan taklik. Dan ketika di dalam iddah sekarang telah berlaku perlanggaran taklik itu. ADAKAH SUAMI BOLEH MERUJUK KEMBALI ATAU PERLU AKAD NIKAH BARU?
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Lafaz taklik yang sah dan dibuat semasa perkahwinan, ia tetap berkuat kuasa walaupun sudah berlaku talak satu yang jatuh bukan disebabkan taklik tersebut. Apabila suami melanggar taklik itu ketika isteri masih dalam iddah raj‘i, maka ia boleh menyebabkan jatuhnya talak taklik.
Jika masih dalam tempoh iddah talak raj'i, contohnya talak dua (masih talak raj‘i), pasangan ingin rujuk semula maka suami boleh melafazkan rujuk sahaja tanpa perlu akad nikah yang baharu dan rujuk hendaklah disahkan dan didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran..
Sekian terima kasih