Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT. Ladang tanaman halia dimasuki babi hutan dan memakan daun daripada pokok halia tersebut, adakah halia yang akan dituai itu menjadi najis dan haram dimakan ? Adakah perlu menyamak kawasan tersebut ? Sekiranya kejadian ini berulang kali dan tidak dapat dielakkan, apakah hukum memakan hasil dari ladang ini ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, situasi yang berlaku hanya kesan perbuatan babi merosakkan tanaman sahaja yang didapati di kebun yang diusahakan. Akan tetapi tidak dapati kesan najis dalam kawasan tersebut. Oleh yang demikian tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis. Ini kerana pada asalnya tiada najis maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.
Adapun, sekiranya terdapat bekas tapak kaki atau kawasan ia bermain atau mencari makanan dengan memusnahkan tanaman yang sukar dielak maka ia termasuk dalam perkara umum balwa iaitu perkara yang sukar dielakkan. Oleh yang demikian maka berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidaklah perlu disamak. Begitu juga, hasil halia yang akan dituai tersebut tidak menjadikan ia sebagai najis dan halal untuk dimakan kerana tiada najis yang melekat pada pokok halia tersebut.
Sekian, terima kasih.