BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustazah/ustaz, maaf nak bertanya tentang cara nak qada puasa mula baligh dari tahun 2011(1432h) sekiranya saya baligh dalam bulan puasa disiang hari adakah hanya dikira ketika saya sudah mula baligh itu sahaja? atau contoh siang hari sebelum baligh saya ada minum/makan adakah yang ni tidak perlu dikira? Jika bilangan qada puasa saya tidak tau berapa, boleh kah saya anggaran haid selama 8 hari, qada puasa saya hanya dari tahun 2011-2022 sahaja sebab tahun 2023-2025 saya ada qada untuk tahun tu selama 8 hari,bermakna fidyah saya berganda dari 2011-2023? Jadi  untuk puasa saya tahun 2011(1432h) tu hanya selama 8 hari jika nak buat qada dalam tahun ni 2025 bermakna puasa saya tidak berganda kekal 8 hari sahaja hanya fidyah saya sahaja  yang berganda selagi tak qada puasa,sekiranya saya  dah berpuasa selama 8 hari itu jadi tinggal saya bayar fidyah ke ustazah/ustaz. Sekian,Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, antara syarat wajib puasa Ramadhan adalah seseorang yang mukallaf iaitu telah mencapai umur baligh. Oleh itu, puasa yang ditinggalkan semasa umur baligh sahaja yang perlu diganti (qada’). Hari di mana dia mula baligh (haid) tidak dikira sebagai hari yang wajib diqada'.

Adapun seseorang yang meragui bilangan hari puasa yang ditinggalkan, maka dia perlu memilih jumlah yang diyakini seperti puan melihat kepada adat haid puan setiap bulan. Merujuk kepada penjelasan puan, anggaran bilangan haid puan setiap bulan adalah 8 hari, jadi boleh diyakini bahawa bilangan hari puasa yang ditinggalkan adalah 8 hari pada tahun 2011, jika hendak diqada' pada tahun 2025, jumlah hari tersebut tidak berganda, iaitu kekal 8 hari sahaja.

Manakala bayaran fidyah lewat qada' 8 hari pada tahun 2011 boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu berganda atau tidak berganda. 

1. Kiraan fidyah berganda

Tahun 2011: (15 tahun) x 8 hari x RM2 = RM240

2. Kiraan fidyah tiada gandaan

Tahun 2011: 8 hari x RM2 = RM16 

Puan boleh memilih kaedah bayaran fidyah sama ada secara gandaan atau tanpa gandaan. Perkara ini merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:

i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.

Bayaran fidyah tersebut boleh dibuat secara atas talian melalui laman web Lembaga Zakat Selangor berikut:

https://fpx.zakatselangor.com.my/fpx_paynow.asp 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 27

message user image