BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan beberapa soalan yang saya kurang pasti jawapannya. Jika seseorang itu akan mengerjakan umrah atas niat untuk berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang di atas sebab rupanya dia telah bercinta dengan suami orang. Dia mengetahui tentang status lelaki tersebut setelah setahun lebih bercinta atau berkenalan. Mereka berdua juga pernah terlanjur di atas dasar suka sama suka. Tina (bukan nama sebenar) juga seorang yang suka mendapatkan perhatian orang melalui social medianya dengan bercakap buruk mengenai lelaki tersebut, berpakaian seksi dan juga telah membuka aibnya sendiri sewaktu live. Bila viewer dia livenya memberi teguran dia tidak menerima dan berkata itu antara urusan dia dengan Allah. Tina juga sering bercakap besar dan bermegah dengan kemewahan, duit dan pekerjaan yang dia ada sehingga menghina pekerjaan orang lain yang berpendapatan bawah daripada 3 ribu. 

Tina (bkn nama sebenar) tidak dapat menerima kenyataan bahwa lelaki itu telah menipunya mengenai status dirinya dan Tina mengganggap lelaki tersebut telah mengambil kesempatan ke atas dirinya seperti meminjam duit, Tina sendiri memberi secara rela dari segi wang tunai dan juga barangan.

Lalu Tina telah memviralkan muka lelaki tersebut bersama isterinya. Bahkan Tina telah chat dan memberitahu isteri lelaki itu perkara sebenar dan isterinya memilih untuk mempertahankan rumah tangganya. Tina tidak boleh terima kenyataan di atas tindakan isterinya yang menyebelahi suaminya dan mempertahankan rumah tangganya. Lalu Tina telah menggangu tempat kerja lelaki itu dan juga isterinya dengan menghantar email dan post kecurangan suaminya di tempat kerja si isteri. Daripada tindakan si Tina itu,  lelaki tersebut terpaksa berpindah tempat kerja di atas perbuatan Tina yang telah menggangu tempat kerja dan menggangu HR di syarikat lekaki itu bekerja. Tina jugak telah melakukan banyak lagi perkara dengan niat membalas dan menjatuhkan maruah lelaki dan seluruh keluarganya.

Tina juga telah membuat live di platform social medianya dengan menyatakan bahwa niatnya telah bertukar ke umrah adalah untuk bernazar dan mendoakan kecelekaan atau bala turun kepada lelaki tersebut dan sekeluarga.

Niatnya yang pertama:
1. Jika Tina menang kes saman terhadap lelaki tersebut dia akan berpuasa sunat selama setahun.

2. ⁠Nazar keduanya, "Butakan lah mata dan bisukan lah mata si lelaki itu sebab dia telah berdusta dengan percakapannya dan melihat perkara munkar dan disebabkan itu dia telah berbuat jahat kepada Tina. Tina berkata dia bernazar sedemikian kerana doa di tanah haram tiada hijab dan supaya lelaki itu boleh berubah ke arah kebaikan."

3. ⁠ Nazarnya yang ketiga, "Mana-mana orang yang sekufu dengannya, termasuk isteri dan keluarganya. Miskin kan lah diorang ni dari segi harta dan jadikan lah diorang ni dalam keadaan hina seperti mana mereka menghina Tina."

**Dalam konteks penghinaan yang telah dilemparkan kepada Tina saya kurang pasti. Tetapi mungkin mesej2 di antara Tina dan lelaki tersebut sehingga Tina merasakan seperi satu penghinaan. Akan tetapi mesej2 tersebut hanya lah di antara mereka berdua sahaja. Sebagaimana Tina pulak dia telah screenshot mesej2 tersebut yang hanya menampakkan lelaki itu bersalah dan tidak memasukkan sekali mesejnya yang Tina juga telah mengeluarkan kata2 yang kesat dan meletakkan di laman sosialnya. 

Tina juga telah berkata bahwa jika dia berada di depan kaabah dia ingin berdoa “Semoga Allah melaknat lelaki dan seluruh keluarga tersebut kerana dia tidak boleh memaafkan perbuatan mereka”. 

Jadi di sini, adakah doa-doanya nya akan dimakbulkan ? Boleh kah saya mendapat sedikit penjelasan mengenai perkara ini. Sesungguhnya hati saya berasa sangat sedih dan takut mendengarkan percakapannya yang sebegitu. 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Justeru berdasarkan persoalan berikut:

1. Nazar tersebut adalah sah, kerana ia melibatkan perkara ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, jika dia tidak menunaikannya seperti yang dinazarkan, maka dia telah melanggar nazar dan perlu membayar kafarah iaitu:

  • Memberi makan 10 orang miskin, atau

  • Memberi pakaian kepada 10 orang miskin, atau

  • Memerdekakan seorang hamba.

2. Lafaz-lafaz tersebut tidak dianggap sebagai nazar bahkan ia hanya sebuah doa. Mendoakan kecelakaan kepada orang lain bukanlah akhlak seorang Muslim yang baik. Tindakan yang lebih baik ialah mendoakan agar Allah SWT memberi hidayah, memperbaiki keadaan dan menyerahkan urusan kezaliman itu kepada keadilan Allah SWT. Penyebaran melalui media sosial dengan tujuan untuk mengaibkan orang lain bukanlah suatu tindakan yang wajar.

Justeru, jalan penyelesaiannya ialah menenangkan hati dengan bersabar, memperbanyakkan doa agar dikurniakan kekuatan serta memohon perlindungan daripada Allah SWT. Bahkan, mendoakan kebaikan bagi pihak yang menganiaya kita turut membuka pintu ketenangan dan kelapangan jiwa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 20

message user image