Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Pejabat Mufti,
Saya Amiruddin, penuntut ilmu agama.
Maaf bertanya, saya ada kekeliruan berkaitan ibadah harian, semakin saya mencari semakin keliru.
Soalan saya ialah, adakah saya mendapat rakaat bersama imam jika saya tidak rukuk bersama imam
Contohnya ialah ketika solat Maghrib rakaat pertama, saya mengangkat takbir ketika imam sedang membaca surau al-ikhlas kerana terlambat hadir masjid. Apabila imam rukuk, saya cuba untuk menghabiskan ayat yang sedang dibaca (bukan menghabiskan keseluruhan al-fatihah). Namun, apabila saya hendak rukuk, imam bangkit untuk iktidal (kesudahanya saya tidak membaca keseluruhan al-fatihah dan tidak mendapat rukuk bersama imam). Adakah saya mendapat rakaat tersebut? Adakah solat saya sah?
Mohon pencerahan dari pihak jabatan.
Jazakallah khair kathira.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bagi memahami masalah masbuk dan muwafiq sebagaimana dinukilkan dalam Kitab Nihayah Zain oleh Syeikh Nawawi Bentan :
Maksudnya: Dan jika makmum mendapatkan imam di dalam qiam sebelum imam rukuk maka hendaklah makmum berdiri bersama imam. Maka jika makmum mendapatkan masa yang cukup untuk membaca fatihah dengan kadar yang sederhana sebelum imam itu rukuk maka makmum itu muwafiq maka wajib atasnya sempurnakan sekelian bacaan fatihah dan dimaafkan makmum ini ketinggalan dari imam sebanyak tiga rukun yang panjang. Dan jika makmum ini tidak sempat masa membaca fatihah ketika itu maka ia adalah masbuk maka bacalah apa yang dia sempat dari fatihah dan apabila imam rukuk maka makmum tersebut wajib rukuk bersama imam.
Justeru, mengikut situasi yang tuan alami maka tuan dikira sebagai seorang yang masbuk dan tidak perlu untuk menghabiskan keseluruhan bacaan al-Fatihah. Sekiranya imam rukuk ketika tuan sedang membaca al-Fatihah maka diwajibkan bagi tuan mengikuti rukuk bersama imam bagi mendapatkan rakaat dengan imam. Untuk mendapat rakaat, makmum masbuk hendaklah mendapat tomakninah bersama imam di dalam rukuk. Tomakninah ialah kadar masa seketika (kadar bacaan “Subhanallah”). Jika seorang makmum masbuk yang belum sempat menghabiskan bacaan surah al-Fatihah. Maka apabila imam rukuk, makmum tersebut hendaklah turut rukuk bersama imam dan meninggalkan bacaan surah al-Fatihah. Jika makmum sempat rukuk beserta tomakninah bersama imam, makmum dikira mendapat rakaat tersebut, kerana bacaan surah al-Fatihah makmum yang masbuk itu ditanggung oleh imam. Namun, jika sekiranya seorang makmum masbuk yang tidak sempat rukuk bersama imamnya kerana menghabiskan bacaan surah al-Fatihah. Maka makmum tadi tidak dikira mendapat rakaat tersebut bahkan makmum tersebut wajib menambah satu rakaat apabila imam memberi salam.
Demikian juga, perkara ini termasuk dalam keadaan yang disebutkan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti iaitu:
Maksudnya: Kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi daripada orang awam (yakni tidak diketahui oleh orang ramai).
Oleh itu, solat yang dilakukan oleh tuan dianggap sebagai sah dan tidak perlu diulang hal ini kerana perbahasan mengenai solat masbuk dan muwafiq merupakan perkara yang terpencil dan tidak mengetahui akan hukum ini tidak perlu diqada’ atas alasan perkara ini merupakan perkara yang tersembunyi dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, setelah diketahui hukumnya maka tuan perlu mengikuti tatacara solat masbuk dan muwafiq.
Sekian, terima kasih.