Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya tentang hukum menggunakan susu ibu untuk tujuan selain memberi susu kepada anak. Saya ada mendengar dalam satu ceramah bahawa susu ibu sangat tinggi nilainya dan tidak boleh digunakan untuk mandi atau diminum oleh orang lain. Jika ingin membuang lebihan susu, ia perlu dialirkan bersama aliran air.
Soalan pertama:
Saya mempunyai lebihan stok susu beku yang banyak, tetapi anak saya sudah tidak lagi menerimanya. Saya berasa berat hati untuk membuang stok tersebut. Adakah membuangnya begitu sahaja dikira sebagai pembaziran?
Soalan kedua:
Saya ada membuat sebentuk batu cincin sebagai kenangan menggunakan sedikit stok susu tersebut. Prosesnya ialah menjadikan susu itu kepada bentuk serbuk, kemudian dicampur ke dalam resin sehingga menjadi batu cincin. Saya hanya menyimpannya sebagai sentimental keepsake dan kadang-kadang memakainya. Adakah perbuatan ini dibenarkan atau adakah ia menyalahi hukum?
Sekian, terima kasih ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1) Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa perbuatan membuang stok susu ibu merupakan satu pembaziran, tambahan pula apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan. Melainkan sekiranya susu tersebut telah rosak maka boleh dibuang di bawah air yang mengalir. Oleh itu, disarankan agar stok susu tersebut diberikan kepada mana-mana bayi yang memerlukan dengan syarat keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain bagi menjaga nasab keturunan kerana sekiranya bayi tersebut telah meminum susu sebanyak lima kali kenyang, maka bayi itu telah menjadi anak susuan sekiranya umur bayi itu kurang dari 2 tahun. Namun jika lebih dari 2 tahun, ia tidak menjadikan bayi itu anak susuan.
2) Fungsi susu ibu adalah untuk memberi nutrisi lengkap kepada perkembangan bayi. Pensyariatannya jelas hanya untuk memberi kebaikan secara langsung kepada bayi. Namun sekiranya ia digunakan untuk tujuan yang tidak memberi manfaat, maka perbuatan tersebut adalah sia-sia.
Sekian, terima kasih.