BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti,

Mohon pencerahan kepada persoalan ini kerana ianya menggangu pemikiran saya.

Beberapa bulan yang lalu, semasa saya beriadah, saya terpijak tahi yang sudah penyek, diyakini telah dipijak. Keadaan ketika itu, hujan baru reda. Saya tidak pasti tahi apa tapi hati saya berat mengatakan tahi anjing kerana terdapat anjing liar berkeliaran di situ dan ada juga anjing peliharaan penduduk di kawasan itu. Saya pernah melihat anjing peliharaan kencing dipokok ketika tuan anjing membawa anjing mereka berjalan-jalan petang, cuma saya belum pernah melihat mana-mana anjing berak di sekitar kawasan yang saya selalu beriadah. Kebiasaannya saya memang akan mengelak dari tempat yang anjing itu kencing ketika saya beriadah. Malangnya pada hari kejadian, saya terpijak tahi, dan kebetulan seluar yang saya pakai agak labuh. Balik daripada beriadah, saya lihat dihujung seluar sedikit basah (sebab keadaan ketika itu, hujan baru reda). Saya lihat dihujung seluar saya tiada kesan najis, saya menghidu hujung seluar saya, tiada bau  juga. Pada mulanya saya yakin itu bukan najis berat memandangkan saya belum pernah melihat anjing berak depan mata saya sepanjang saya beriadah sebelum kejadian, akan tetapi timbul perasan was-was kerana saya takut ibadah tidak diterima.

Jadi persoalan saya,

  1. Adakah saya dikira terpijak tahi anjing?
  2. Memandangkan ketika itu saya terlalu yakin, sebab tiadanya najis di hujung seluar dan ketika saya bau, tiada bau busuk najis, saya basuh sekali seluar tersebut dengan pakaian lain didalam mesin basuh. Adakah pakaian lain perlu di sertu juga?
  3. Adakah mesin basuh juga perlu disertu?

Mohon pencerahan Tuan Mufti. 

Terima kasih. Mohon maaf atas kekhilafan saya. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa. Merujuk kepada persoalan puan:

1) Tidak, kerana tidak dapat diyakini dan dipastikan bahawa najis tersebut adalah daripada anjing.

2) Tidak perlu sertu jika tidak ada kepastian bahawa seluar tersebut terkena najis mughallazah (tahi anjing), maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, maka abaikan sahaja perasaan tersebut tidak perlu sertu seluar dan juga pakaian yang lain.

3) Tidak perlu disertu mesin basuh kerana tiada najis.

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 20

message user image