Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya pernah dirogol oleh guru sekolah rendah saya, namun beliau tidak memohon maaf atas perbuatan tersebut. Apabila saya menutut keadilan bagi pihak saya ketika saya sudah mencapai umur 18 tahun, saya dikatakan menabur fitnah oleh isterinya dan cikgu tersebut tidak mengaku kesalahan beliau. Disebabkan ini, saya rasa tiada keadilan dalam hidup saya kerana orang yang berbuat jahat kepada saya dapat hidup dengan bahagia bersama keluarga yang dia dirikan namun saya masih berasa sedih tentang perkara yamg terjadi kepada saya. Saya akan mengerjakan umrah dan saya berniat untuk mendoakan semoga bala jatuh ke atas individu tersebut dan dia mengaku kesalahan yang dia lakukan.
Apakah yang saya lakukan ini berdosa? Apakah tidak baik mendoakan kejatuhan seseorang walaupun saya telah dibuat sedemikian?
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 148:
Maksudnya: Allah tidak menyukai ucapan buruk yang diucapkan secara terang-terangan, kecuali oleh orang yang dizalimi.
Berdasarkan firman di atas, dapat kita simpulkan adalah orang yang dizalimi tidak berdosa meluahkan kesakitan kepada Allah dan doa orang yang dizalimi sangat mustajab.
Namun, Islam juga mengajar pilihan yang lebih tinggi nilainya iaitu memaafkan. Walaupun ia sangat berat tetapi lebih menenangkan kerana ia menghampiri taqwa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 237:
Maksudnya: Dan jika kamu memaafkan, itu lebih hampir kepada takwa.
Sememangnya jenayah yang dibuat oleh guru tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun kerana guru adalah pelindung kepada muridnya bukan merosakkan masa depan anak muridnya.
Berbalik hukum mendoakan keburukan ke atas seseorang yang telah membuat kezaliman adalah tidak dituntut dalam Islam. Doa yang dituntut dalam Islam adalah mendoakan supaya keadilan diterima, doakan kebenaran dibongkar dan pelaku dipertanggungjawabkan, doakan disembuhkan trauma dan mendoakan Allah membalas dengan cara-Nya yang adil.
Ingatlah Allah tidak pernah tidur, sekalipun pelaku tidak menerima hukuman di dunia, pastinya di Akhirat nanti keadilan akan memihak kepada saudari. Dengan kesabaran itu, pastinya Allah mengurniakan pahala serta syurga.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 255:
Maksudnya: Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus tadbir seluruh alam, Dia tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur
Kesimpulannya, Islam tidak menggalakkan mendoakan keburukan atau bala pada seseorang yang lain walaupun ia berlaku zalim. Namun, perbuatan itu tidak jatuh kepada dosa. Sekiranya bukti telah lengkap, terus sahaja laporkan kepada pihak Polis dan sekiranya tiada, maka sebaiknya laksanakan apa yang disarankan di atas. Semoga segalanya dipermudahkan dan keadilan mampu dirungkai.
Sekian, terima kasih