Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya nak memohon pencerahan berkenaan dengan isu suami isteri yang bekerja. Saya dan suami pergi dan balik kerja bersama. Namun, beberapa bulan yang lepas, suami telah berpindah tempat keje yang berlainan arah dengan saya. Suami pergi dan balik kerja menaiki motosikal. Manakala saya pula perlu meminta bantuan adik beradik utk pergi dan balik kerja. Suami ada mempunyai kereta tetapi duit minyak, tol dan parking kereta tidak disediakan oleh suami dimana saya juga kadang menghadapi kesempitan wang utk sampai ke gaji seterusnya. Hal ini membuatkan saya berasa sedikit segan dengan adik beradik kerana suami seperti langsung tidak ambil peduli bagaimana saya pergi dan balik kerja. Suami seperti mengharapkan adik beradik saya hantar dan ambil saya bekerja tanpa berbincang atau memberitahu dengan lebih awal terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan adik beradik saya merasa terbeban kerana perlu menyesuaikan waktu pergi dan balik kerja mereka kerana saya. Adakah tindakan suami ini termasuk dalam pengabaian hak/nafkah isteri ,? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, suami wajib menyediakan nafkah asas seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan keselamatan isteri. Nafkah untuk isteri pergi bekerja bukan kewajipan suami kerana pekerjaan isteri bukan tanggungjawab wajib atas isteri.
Namun begitu, suami tetap berdosa jika bersikap tidak peduli sehingga menyebabkan kesusahan, memalukan atau membebankan isteri kepada orang lain. Sikap tidak mengambil berat terhadap keperluan harian isteri termasuk dalam kecuaian menjalankan tanggungjawab sebagai suami untuk hidup bersama secara ma’ruf (baik).
Maka perbuatan suami membiarkan isteri mencari pengangkutan sendiri hingga membebankan keluarga, tanpa usaha membantu atau berbincang, adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab dan tidak selaras dengan adab nafkah dalam Islam, walaupun bukan termasuk nafkah wajib secara teknikal.
Penyelesaian terbaik menurut adab rumahtangga dalam Islam ialah suami isteri berbincang dengan tenang untuk mencari jalan yang paling tidak membebankan sesiapa. Walaupun suami tidak wajib menanggung kos kerja isteri, suami tetap dituntut untuk membantu mengurangkan kesusahan isteri mengikut kemampuan. Maka suami boleh membantu dengan menyediakan kenderaan sekali sekala, memberi sedikit bantuan minyak mengikut kadar mampu, atau merancang jadual bersama supaya isteri tidak bergantung kepada adik-beradik. Prinsipnya ialah saling memudahkan dan saling bertolak ansur, kerana kehidupan suami isteri diwajibkan mu‘āsyarah bil ma‘rūf — hidup bersama secara baik, bertanggungjawab dan berperhatian.
Sekian, terima kasih.