Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial baru-baru ini, di mana berlaku sistem glitch pada platform pembelian dalam talian (khususnya, GrabDelivery x Guardian), menyebabkan harga beberapa barangan dipaparkan pada nilai RM0.00.
Ramai yang berpendapat pada mulanya ianya bukan sistem glitch tapi dianggap sebagai sale. Ramai pengguna, termasuk umat Islam, mengambil kesempatan di atas kesilapan sistem ini dengan membuat pesanan pembelian dalam kuantiti yang banyak (seperti beratus botol produk penjagaan diri), di mana mereka hanya perlu membayar caj penghantaran, sedangkan nilai sebenar barangan tersebut mencecah ratusan atau ribuan ringgit.
Kami memahami bahawa dalam kontrak jual beli (akad), rukun utamanya adalah wujudnya saling redha (keredhaan) antara penjual dan pembeli serta harga yang dipersetujui. Dalam kes ini:
Adakah wujud keredhaan (keredhaan) daripada pihak penjual (Guardian / Grab) apabila harga barangan utama secara jelas tersalah papar (kesilapan harga yang ketara atau Ghalat yang tidak disengajakan)?
Apakah hukum Syarak bagi perbuatan pembeli yang mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa harga RM0.00 adalah satu kesilapan yang ketara, namun sengaja mengambil kesempatan untuk membuat pembelian dalam kuantiti yang besar? Adakah tindakan ini dikira sebagai memakan harta orang lain secara batil (haram)?
Mohon pencerahan daripada pihak tuan mengenai hukum Syarak bagi situasi jual beli yang terjadi akibat kesilapan atau glitch harga sistem ini agar umat Islam dapat menjauhi perkara yang syubhah dan memastikan rezeki serta harta yang dimiliki adalah halal.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya antara rukun sah akad jual beli ialah wujudnya keredaan kedua-dua pihak, berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Apabila berlaku ghalat (kesilapan jelas) dalam penentuan harga, para fuqaha menyatakan bahawa reda penjual tidak wujud, kerana keredaan hanya sah apabila ia didasarkan kepada pilihan sedar dan maklumat yang betul mengenai harga. Maka jual beli tersebut tidak memenuhi syarat reda dari pihak penjual kerana paparan RM0.00 adalah ghalat yang ketara, bukan harga sebenar. Oleh yang demikian akad yang berlaku berada dalam kategori akad fasid (cacat), dan syarikat berhak membatalkan transaksi.
Manakala bagi pembeli yang mengetahui bahawa harga RM0.00 adalah suatu kesilapan yang nyata, tetapi tetap melakukan pembelian dalam kuantiti yang besar demi mengaut keuntungan, maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai:
a. Memakan harta secara batil (الْبَاطِل)
Ini selari dengan ayat al-Quran dari surah al-Nisa' ayat 29 yang telah disebutkan di atas.
b. Termasuk dalam larangan menganiaya pihak lain
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh membalas mudarat (Riwayat Ibnu Majah)
Mengambil barang bernilai secara percuma kerana kesilapan sistem adalah suatu bentuk eksploitasi yang memudaratkan penjual.
c. Termasuk juga unsur tidak amanah dan tidak beretika
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW menegaskan bahawa:
Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat (akad) mereka. (Riwayat Abu Daud)
Dalam kes ini, “syarat harga” hakikatnya tidak pernah wujud kerana RM0.00 bukan harga yang dimaksudkan penjual.
Sekian, terima kasih.