BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya telah mengambil suntikan perancang setelah kelahiran anak kedua. Pada mulanya saya keluar darah dalam 7- 15 hari dengan tempoh suci melebihi 15 hari. Walau bagaimanupun masuk tahun kedua saya mengalami "spotting" pada masa yang tidak menentu tetapi melebihi 24 jam dan kadang kadang berterusan 2-3 hari. Saya maklum bahawa wanita boleh berhenti sepenuhnya darah haid ketika mengambil suntikan perancang. Kitaran haid saya juga tidak begitu teratur sebelum mengambil suntikan perancang. Bagaimana kaedah terbaik untuk saya menentukan darah istihadah? Atau "spotting" boleh dianggap sebagai darah istihadah kerana sifatnya lemah/cair dan bukan seperti haid biasa?

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, untuk mengenali darah haid, ia boleh dipastikan dengan mengetahui sifat-sifat darah melalui warna darah (hitam, merah, perang, kuning dan keruh), darah pekat atau cair dan darah berbau kuat dan kurang baunya. Jika warna-warna tersebut keluar dalam tempoh tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam, maka ia masih dianggap sebagai darah haid. 

Begitu juga suatu darah itu dihukum darah haid apabila cukup kadar minimum iaitu keluar darah selama 24 jam. Pengiraan tempoh 24 jam terbahagi kepada dua iaitu: (1) Darah keluar berterusan bermula pada waktu darah keluar sehingga cukup sehari semalam iaitu 24 jam dihukumkan haid; (2) Darah keluar secara terputus-putus iaitu gabungkan keseluruhan jam keluar darah dalam tempoh 15 hari. Sekiranya keseluruhan mencukupi 24 jam, ia dihukumkan haid, jika tidak mencukupi 24 jam ia dihukumkan sebagai darah istihadhah. 

Merujuk kepada persoalan, darah yang keluar tersebut adalah melebihi 24 jam walaupun ia keluar secara ‘spotting’ dihukumkan sebagai darah haid kerana memenuhi syarat asas haid serta masih dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 15

message user image