BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalam, saya nak tanya berkenaan status saya. Adakah saya masih isteri orang yang sah ataupun tidak. Kami pernah bercerai. Dengan lafaz taklik yang dilafazkan bekas suami "Kalau hang keluar rumah tak mintak izin aku jatuh talak 1". Saya ada keluar mengambil serai dibelakang rumah jiran tanpa meminta izin. Kami sudah rujuk dengan Pejabat Agama Langkawi, kerana kami tinggal di sana. Hakim sudah mengesahkan penceraian kami. Sebelum kami daftarkan di Pejabat Agama, suami tidak mahu mendaftarkan penceraian itu kerana baginya prosedur rumit. Dia dengan yakin mengatakan saya tidak perlu risau soal aurat dan batas pergaulan. Kerana dia sudah berniat terima saya kembali sebagai isteri. Bila saya mendesak untuk rujuk pejabat agama kerana ragu-ragu, lagi sekali dengan yakin nya dia berkata, "hanya aku lafaz aku terima sahaja sudah sah!". Selepas didesak akhirnya kami mendaftar di Pejabat Agama untuk mengesahkan jatuh talak yg pertama. Kemudian apabila saya bertanya kepada suami soal rujuk yang pernah dilafazkan, dia minta saya abaikan dan lupakan. Selesai prosiding mahkamah, saya pulang ke kampung di Klang. Saya seolah-olah menghabiskan tempoh iddah disini. Sepanjang saya dalam tempoh "iddah", saya ada juga bertanya soal lafaz rujuk yang dilafazkan nya. Tetapi hanya minta saya abaikan dan lupakan. Sepanjang tempoh langgar taklik hingga ke hari ini, kami tidak melakukan hubungan suami isteri. Saya baru habis haid yang ketiga. Tetapi sampai sekarang saya tertanya apakah sah lafaz rujuk dia ataupun saya perlu teruskan hidup seperti biasa tanpa mengharapkan apa - apa lagi dari suami kerana sekarang saya di pelabuhan Klang dan dia di Langkawi. Sepanjang tempoh 3 bulan dia ada beri nafkah rm400. Rm200 untuk saya dan rm200 lagi untuk anak. Saya mengharapkan jodoh kami kuat dan serahkan segalanya pada Allah. Harap ustaz boleh membantu menjelaskan keraguan saya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, lafaz rujuk hendaklah diungkapkan dengan perkataan yang sorih/ jelas, sekiranya lafaz rujuk tersebut tidak sorih/ jelas atau lafaz tersebut dalam bentuk kiasan, maka ianya perlu kepada niat bekas suami untuk rujuk kepada isterinya. Dalam persoalan yang puan kemukakan, pihak kami tidak mendapati sebarang keterangan yang puan utarakan menunjukkan adanya lafaz rujuk bekas suami secara sorih/jelas. Oleh yang demikian, kami beranggapan bekas suami tiada lafaz rujuk secara sorih. Justeru, puan bukan lagi isteri kepada bekas suami puan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 206

message user image