Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Tajuk: Hukum Menonton Animasi dan Bermain Game yang ada character
Assalamualaikum Ustaz,
Saya keliru berkaitan hukum menonton animasi dan bermain game yang ada character bergerak untuk orang dewasa. Saya tahu hukum melukis manusia dan haiwan tidak dibenarkan melainkan untuk kebaikan dan pendidikan kanak-kanak. Bagaimana pula hukum menonton animasi dan bermain game yang pada asasnya bermula daripada lukisan dan kemudian character tersebut umpama dihidupkan untuk memenuhi jalan cerita animasi atau game tersebut. Adakah orang dewasa yang menonton animasi dan bermain game yang ada character ini, umpama menolong di dalam perkara haram. Minta pencerahan.
Contoh animasi: Naruto
Contoh Game: Mobile Legend
Jawapan
Memang benar terdapat larangan melukis atau juga mengukir sesuatu berbentuk makhluk hidup. Walaupun begitu, terdapat perincian berkenaan melukis karakter tertentu bagi tujuan animasi. Melukis karakter animasi bertujuan hiburan atau pendidikan adalah diharuskan selagi mana tiada unsur-unsur penghormatan atau memuliakan karakter tersebut. Hal ini kerana asal larangan melukis atau mengukir makhluk hidup adalah disebabkan terdapat unsur-unsur penghormatan atau kemuliaan.
Berbeza pula hukum berkenaan menonton animasi dan bermain game. Hukum menonton animasi atau bermain game adalah harus selagi mana mematuhi garis panduan syarak.
Berikut beberapa garis panduan hiburan dan permainan video game menurut syarak:
a) Makruh: Sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
b) Haram: Sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang buruk atau diharamkan syarak seperti perjudian, gambar yang membuka aurat, menggalakkan kepada keganasan, membunuh diri dan sebagainya.
c) Dibenarkan dan digalakkan: Sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.
Sekian, terima kasih.