Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM SAYA INGIN BERTANYA KERANA TERLALU BANYAK JAWAPAN, anak luar nikah jika dia berkahwin bolehkah dia menjadi wali kepada anak kandung perempuan nya, dan jika dia ada anak lelaki, dan mempunya cucu perempuan boleh kah anak lelaki dia menjadi wali kepada cucu perempuan tersebut, serta anak luar nikah ni boleh ke menjadi imam masjid? Atau jd imam kepada masyarakat luar . Saya perlukan kesahihan jawapan kerana bakal berkahwin tidak lama lagi .
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Lelaki tersebut boleh menjadi wali pernikahan kepada anak perempuannya, kerana nasab anak perempuan itu sabit secara syarak hasil daripada perkahwinan yang sah lelaki tersebut. Maka lelaki itu sebagai bapa yang sah di sisi syarak, dan dengan itu berhak menjadi wali dalam perkahwinan anak perempuannya. Perkahwinan yang sah melahirkan nasab yang sah dan menjadikannya bapa yang sebenar menurut hukum syarak. Begitu juga sekiranya lelaki itu ada anak lelaki dan anak lelaki itu boleh menjadi wali kepada anak perempuannya (cucu kepada lelaki anak luar nikah).
2. Seorang anak luar nikah tidak terhalang menjadi imam yakni harus kerana statusnya sebagai anak luar nikah tidak menjadikan dia fasik atau membatalkan kelayakannya menjadi imam, selagimana syarat-syarat asas menjadi imam itu sempurna. Dan untuk menjadi imam masjid atau untuk masyarakat umum hukumnya juga adalah harus, tetapi dalam masa yang sama perlu diteliti dari sudut adab, kesan sosial, dan kemaslahatan. Jika terdapat kebimbangan fitnah atau timbul perkara buruk, maka adalah lebih baik menilai semula pengangkatannya sebagai imam untuk menjaga kemaslahatan umum. Status kelahiran bukan alasan untuk disekat daripada menjadi imam. Yang penting ialah akhlak, kesucian ibadah, dan keupayaan memimpin.
Sekian terima kasih