BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya dan Bekas isteri ada melakukan hubungan kelamin sebelum dan selepas pertunangan dia. Perlukah saya minta maaf pada mertua?


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Merujuk persoalan yang diajukan, hubungan kelamin yang berlaku sebelum akad nikah, sama ada sebelum atau selepas pertunangan, adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan wajib ditinggalkan serta disertai dengan taubat kepada Allah SWT. Taubat ini merupakan urusan antara hamba dengan Allah SWT. Di samping itu, taubat yang sebenar hendaklah memenuhi tiga perkara iaitu;-

1) Menyesal atas perbuatan tersebut

2) Berhenti daripada melakukan dosa

3) Berazam untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang. 

Berhubung persoalan sama ada perlu meminta maaf kepada mertua, hukum asalnya tidak wajib untuk memaklumkan atau meminta maaf secara khusus kepada mertua tentang perbuatan tersebut, sekiranya mereka tidak mengetahui perkara itu. Hal ini kerana Islam melarang seseorang daripada membuka aib dan dosa yang telah Allah tutupi, dan pendedahan sedemikian boleh membawa kepada kemudharatan, fitnah serta kerosakan hubungan kekeluargaan.

Walau bagaimanapun, sekiranya ingin menjaga adab, memelihara hubungan dan menutup perkara lama dengan cara yang baik, adalah disarankan untuk meminta maaf secara umum tanpa menyebut atau mendedahkan dosa tersebut. Permohonan maaf boleh dibuat atas dasar kesilapan dan kekhilafan secara keseluruhan, tanpa perincian. Kesimpulannya, kewajipan utama ialah bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah SWT. Tidak wajib meminta maaf kepada mertua secara khusus berkaitan perbuatan tersebut, dan tidak dibenarkan membuka aib sendiri. Namun, meminta maaf secara umum demi menjaga adab dan keharmonian hubungan adalah dibenarkan dan bertepatan dengan akhlak Islam.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 38

message user image