Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT.
Apakah hukum menghantar/share video kelakar atau motovasi yang di dalamnya ada perempuan yang tidak tutup aurat.
Adakah turut mendapat dosa kepada orang yang menyebarkan video tersebut walaupun niatnya untuk menunjukan benda kelakar atau motovasi dalam video tersebut?
Sekiranya kita hanya hantar suaranya sahaja. Adakah sama hukumnya?
Terima kasih
Jawapan
Kehidupan pada zaman digitalisasi yang kita rasai ini, penggunaan media sosial seperti Instagram, TikTok, dan Facebook semakin meningkat. Tidak kurang juga kita melihat ramai dalam kalangan masyarakat yang memperagakan gambar malahan video yang mempertontonkan aurat mereka.
Menutup aurat adalah wajib dan membukanya adalah berdosa dengan kesepakatan ulamak. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah surah An Nur ayat ke 31:
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;
Oleh itu, menghantar atau share video wanita yang tidak menutup aurat, walaupun sekadar content kelakar atau mengandungi motivasi, adalah tidak dibenarkan kerana dianggap bersubahat dalam menyebarkan kemungkaran.
Seandaiya hanya melibatkan suara yang diharuskan, maka ia tidak menjadi suatu kesalahan.
Sekian, terima kasih.