Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ingin bertanya berkenaan solat jamak. Kalau jarak perjalanan dari tempat percutian ke rumah sepatutnya 135 km untuk sampai, tetapi berhenti di stesen pam atau mana-mana R&R untuk Solat Maghrib & Isyak dan tinggal lagi 40 km sahaja utk sampai ke destinasi akhir iaitu rumah (menetap lama), masih boleh jamak ke?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, seorang yang bermusafir diharuskan untuk solat jamak dan qasar sepanjang perjalanan pergi dan balik permusafiran. Diharuskan untuk solat jamak dan qasar selepas keluar atau melepasi kawasan perumahan atau kampung tempat dia tianggal. Begitu juga, dia harus menunaikan solat secara jamak dan qasar sepanjang perjalanan balik selagi belum memasuki kawasan perumahan atau kampung tempat dia tinggal. Oleh itu, sekiranya jarak 40km itu belum memasuki kawasan perumahan, maka diharuskan untuk solat jamak dan qasar.
Sekian, terima kasih.