Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Izinkan saya bertanya.. Saya sudah berkahwin selama 10 tahun. Selama 8 tahun kebelakangan ini suami enggan bekerja. Saya mempunyai 2 anak. Selama ini saya yang membuat semua perbelanjaan dirumah termasuk makan,minum dan pakaian anak2 dan makan minum suami kerana saya bekerja.
Jika suami tidak member nafkah mengikut kemampuannya adakah saya sebagai isteri wajib melayan permintaan nafkah batin suami?
terima kasih
Jawapan
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 233:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Para ulamak bersepakat bahawa suami wajib untuk menyediakan nafakah kepada isteri. Sebagai balasan isteri wajib mentaati suami. Ini termasuk menerima ajakan suami untuk bersama. Seandainya isteri enggan atau menolak ajakan suami tanpa sebab yang dbenarkan menurut syarak, maka isteri dianggap sebagai nusyuz dan gugurlah hak mendapat nafakah daripada suami. Begitu juga sebaliknya.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya suami tidak mampu untuk menyediakan nafakah, maka isteri mempunyai 3 pilihan:
1. Bersabar atas kekurangan yang ada.
2. Menolak ajakan suami untuk bersama.
3. Memohon fasakh di Mahkamah Syariah.
Puan boleh merujuk kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat untuk mendapatkan nasihat serta pandangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.