Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkaitan rawatan kecantikan sebenarnya.
Saya bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah klinik estetik dan sering menerima soalan berkaitan hukum. Apa yang saya tahu, hukum melakukan rawatan kecantikan adalah dibolehkan sekiranya bertujuan untuk kesihatan dan bukan mengubah rupa asal wajah.
Namun begitu, berkaitan bahan yang digunakan untuk rawatan wajah, saya mengalami kesukaran untuk menjawab kerana memang mengetahui bahan yang digunakan tidak mempunyai sijil halal. namun begitu, bahan-bahan atau ubatan ini tidaklah mengandungi bahan yang haram seperti unsur-unsur binatang.
Jadi soalan saya, adakah sebagai muslim, kita boleh melakukan rawatan kecantikan dengan bahan & ubatan yang hanya mempunyai campuran kimia dan tiada unsur binatang apa-apa yang haram?
Jawapan
Dalam Islam, antara syarat utama dalam pengambilan sebarang rawatan perubatan ialah bahan yang digunakan mestilah bersumberkan perkara yang suci dan halal. Sekiranya sesuatu ubat atau rawatan mengandungi unsur najis, maka hukum asalnya adalah haram, kerana syarak melarang pengambilan manfaat daripada najis selagi masih terdapat bahan lain yang suci dan halal sebagai pengganti. Fiman Allah SWT:
Maksudnya: "Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya."
(Surah al-An’am: 119)
Berdasarkan soalan yang diajukan, rawatan kecantikan yang menggunakan plasenta haiwan adalah haram. Penggunaan plasenta haiwan yang bernajis adalah haram untuk tujuan kosmetik atau kecantikan, tetapi harus untuk tujuan perubatan atas faktor darurat dan hajat keperluan. Namun, ia perlu diambil dengan jumlah kuantiti yang hanya sekadarnya.
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:
Maksudnya: Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.
Sebagai kesimpulan, dinasihatkan agar puan menjauhi sebarang proses rawatan yang mengubah ciptaan bentuk asal kejadian, rawatan yang mengandungi bahan-bahan yang najis, serta tidak menawarkannya kepada pesakit sekiranya tiada keperluan untuk memastikan sumber pendapatan diberkati Allah SWT. Adapun membuat rawatan kecantikan dengan bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, ia dibenarkan oleh syarak bagi menambah kesihatan kulit muka.
Islam sangat menekankan kepentingan mencari rezeki yang halal dan mendapat keberkatan daripada Allah. Sumber pendapatan yang halal lahir daripada pekerjaan yang tidak melibatkan perkara haram atau unsur syubhah selaras dengan tuntutan syariat. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menyediakan jalan keluar yang terbaik bagi hamba-Nya yang bertakwa, berusaha memperoleh rezeki yang halal, dan menjauhi pekerjaan yang diharamkan.
Sekian, terima kasih.