BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah.

Saya ingin bertanya, saya dulu suka spin dalam game pakai duit sebenar dan sekarang saya insaf tak nak buat dah bila dapat tahu ia Haram.

Ada dua jenis game saya main pakai spin, satu Honour of kings di mana skin collaborations memang dia akan buat secara spin dan satu lagi game genshin impact/honkai star rail yang boleh dapat character tu pakai in game punya currency sahaja tapi saya still top up sebab tak cukup waktu.

Persoalan saya ialah, boleh ke saya pakai barang-barang dalam game yang saya dah dapat melalui spin tersebut? Contoh seperti skin atau character game? Sebab ada saya baca kata boleh ada yang saya baca kata tidak, jadi saya keliru.

Kalau tidak boleh, untuk game macam genshin dan honkai tu dikira boleh ke kalau saya spin balik, character yang saya pernah spin pakai duit sebenar, tapi kali ni hanya pakai game currency sahaja untuk dapatkan character? Tapi dia akan jadi macam naik taraf level sahaja sebab saya dah pernah dapat character tu.

Harap dapat pencerahan tentang ini.

Terima kasih atas jawapan ustaz/ustazah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, suatu akad jual beli atau transaksi dianggap mengandungi unsur perjudian sekiranya boleh melibatkan kerugian kepada salah satu pihak yang terlibat. Jual beli barangan dengan menggunakan kaedah spin dianggap mengandungi unsur judi sekiranya barangan yang ditawarkan mempunyai nilai yang berbeza dari segi harga atau terdapat kemungkinan pembeli tidak mendapat apa-apa barangan dengan bayaran yang dibuat.

Walau bagaimanapun, seandainya semua barangan yang ditawarkan adalah sama jenis dan nilai dari segi harga, yang membezakan adalah corak, bentuk atau gambar yang tidak menyebabkan kerugian jika mendapatnya, dan pembeli pasti akan mendapat salah satu daripada barangan tersebut, maka jual beli tersebut diharuskan. Walaupun terdapat gharar, iaitu ketidakpastian, ia adalah gharar yasir, atau ketidakpastian yang sedikit, yang tidak menjejaskan akad jual beli.

Barang yang diperolehi melalui jual beli yang mengandungi unsur perjudian adalah haram digunakan dan hendaklah ditinggalkan. Manakala barang yang diperolehi melalui jual beli yang tidak mengandungi unsur judi atau gharar fahis (ketidakpastian yang besar yang merugikan), maka ia adalah halal dan harus untuk digunakan.

Pembelian menggunakan game currency, token dan sebagainya adalah sama seperti menggunakan mata wang sebenar. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image