BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,

Saya ada pertanyaan. Bapa saudara saya ada tanam pokok rambutan di kawasan halaman rumah kami. Rumah kami adalah rumah kampung, jadi rumah saudara-mara kami dibina dekat-dekat/bersebelahan sahaja tanpa ada sempadan. Tanah ini dikongsi-bersama oleh waris datuk saya (bapa saya, bapa saudara saya, sepupu saya & sebagainya). Pokok-pokok buah-buahan di sini mmg ditanam oleh kami & saudara mara kami. Memang jadi kebiasaan, buah-buah semua pokok ini kami makan bersama. Tanah kawasan rumah ini pun dikongsi ramai-ramai oleh saudara-mara kami.

Buah pokok rambutan yang ditanam oleh bapa saudara saya itu pun dimakan bersama oleh saudara mara yang tinggal di sini (bapa saudara mmg bagi makan semasa hidupnya). Bila bapa saudara saya meninggal, kami masih makan hasil buah rambutan itu seperti biasa. Saya ada terbaca, pokok adalah hak milik penanam. Jadi, bila bapa saudara saya meninggal dunia, saya risau kalau saya termakan buah yang haram sebab mungkin pokok tersebut jadi harta faraid milik waris-waris bapa saudara saya.

Mohon pencerahan sama ada kami masih boleh makan buah rambutan tersebut seperti biasa (sebab mmg bapa saudara izinkan saudara mara untuk makan) atau perlu kami cari semua waris bapa saudara saya semula untuk minta izin lagi sekali (sbb bapa saudara dah meninggal dunia)?

Kalau perlu minta izin semula dari waris penanam pokok, adalah kami perlu juga cari semula siapa penanam untuk setiap pokok yg berada di sekitar rumah kami? Kami ada masalah sebab pokok-pokok ini sudah lama ditanam oleh atuk/ayah saudara/mak saidara/saudara-saudara kami (mungkin ada yang sudah meninggal dunia & mungkin ada ramai waris) & tidak pasti boleh cari siapa yang tanam untuk setiap pokok.

Klu waris pokok sukar dicari, pokok-pokok di sekitar/halaman rumah kami ini perlu ditebang ker supaya kami tak termakan buahnya? 

Mohon pencerahan.


Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada situasi yang dikemukakan, sekiranya adik-beradik tuan ingin memakan buah rambutan yang ditanam di atas tanah tuan oleh arwah bapa saudara tuan itu mahupun yang mungkin ditanam oleh datuk, emak saudara, saudara-saudara yang terdahulu, perlulah meminta izin daripada waris kepada penanam pokok terlebih dahulu sebelum memakan buah rambutan tersebut memandangkan penanam tersebut telah meninggal dunia bagi mengelakkan termakan harta milik orang lain secara batil. Sebagaimana berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya : Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Dalam budaya masyarakat kita, sekiranya bapa saudara telah sedia maklum dan mengizinkan saudara-mara menikmati hasil tersebut semasa hayatnya, lazimnya para waris juga mempunyai kecenderungan yang sama untuk meneruskan pemberian itu sebagai sedekah jariah bagi pihak si mati.

Walau bagaimanapun, dari sudut hukum, pemilik tanah tidak semestinya memiliki pokok yang ditanam di atas tanah tersebut, namun pemilik tanah berhak menuntut pampasan atas penggunaan tanah berkenaan. Sekiranya pokok-pokok buah-buahan itu masih mengeluarkan hasil, maka harus untuk diteruskan sedekah bagi pihak arwah kepada orang lain. Dalam masa yang sama, adalah wajar untuk memaklumkan secara umum kepada waris-waris yang masih hidup mengenai kewujudan pokok tersebut, memandangkan niat arwah semasa hidup adalah untuk berkongsi hasilnya selagi pokok-pokok berkenaan terus mengeluarkan hasil.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image