Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan berkaitan lafaz talak. Saya dan suami ada perselisihan faham sebelum ini melalui aplikasi whatsapp. Saya seorang surirumah. Suami minta saya memohon jawatan sebagai cikgu sekolah tetapi saya menolak. Kemudian saya bertekad untuk mencari kerja lain. Suami saya ada menghantar pesanan
" aku tak bagi ko kerja. Klo ko nak tahu apa ak buat dgn ko.. try la keluar kerja."
" pergi la klo berani. Silap ak hntr ko balik kmpg"
" lantak ko la nak tekad pon. Ko keluar kerja. Jgn sesekali nk masuk rumah nie."
Saya inginkan kepastian adakah itu antara lafaz talak?
Jawapan
Merujuk kepada pesanan yang dihantar oleh suami: "jgn sesekali nk masuk rumah nie" boleh dianggap sebagai lafaz kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menghantar pesanan tersebut. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Walau bagaimanapun, saudari disarankan untuk merujuk kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat untuk mendapatkan kepastian dan tindakkan lanjut. Hanya pihak Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidangkuasa untuk memberi keputusan sama ada suatu lafaz talak itu sah atau tidak.
Sekian, terima kasih.