BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Tuan Mufti,

     Saya ditugaskan sebagai pembanci dan ada syarat-syarat ditetapkan perlu dipenuhi oleh calon banci. Tapi dalam masa yang sama tugas yang dijalankan tu ada sedikit helah yang terpaksa digunakan untuk memenuhi syarat tersebut seperti menggunakan calon yang tidak bersesuaian iaitu sepatutnya menggunakan calon bukan warganegara yang belajar di IPTA tetapi disebabkan susah untuk dicari dan saya terpaksa isi sendiri dengan warga tempatan.
 

Adakah gaji saya ini halal untuk dibelanjakan atau jika tidak halal atau tidak berkat apa perlu saya lakukan dengan gaji ini. Selain itu, saya menyesal atas perbuatan saya dan sebolehnya lepas ini tidak akan mengulanginya lagi. Harap dapat perjelasan dari pihak tuan. Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya mengatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

الْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

آيةُ المُنافِقِ ثلاثٌ: إذا حدَّثَ كذَبَ، وإذا وعَدَ أخلَفَ، وإذا ائْتُمِنَ خان

Maksudnya: Tanda orang munafik tiga; apabila berkata ia berbohong, apabila berjanji mengingkari dan bila dipercaya mengkhianati (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perbuatan yang dilakukan tersebut tergolong dalam perbuatan tidak amanah dan sewajarnya dijauhi oleh setiap orang Islam. Perbuatan menipu adalah dilarang secara jelas dalam syarak dan termasuk dalam perbuatan dosa. Oleh itu, mereka yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah SWT atas kesilapan yang dilakukan, menyesali perbuatan tersebut serta berazam untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Namun demikian, gaji yang diterima adalah halal dan harus untuk dimanfaatkan, memandangkan tugasan yang diberikan tetap dilaksanakan sebagaimana yang diarahkan. Walaupun terdapat unsur perbuatan yang haram semasa pelaksanaan tugasan tersebut, ia tidak menjejaskan keseluruhan upah yang diterima selagi mana kerja yang dipertanggungjawabkan telah disempurnakan. Perbanyakkan sedekah serta beristighfar atas kesalahan yang telah dilakukan.

Sebagai kesimpulan, setiap individu Muslim hendaklah sentiasa memelihara nilai amanah, kejujuran dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Keberkatan rezeki bukan sekadar terletak pada sumber pendapatan, bahkan bergantung kepada cara dan akhlak dalam melaksanakannya. Oleh itu, hendaklah dijadikan peristiwa ini sebagai peringatan untuk lebih berhati-hati serta memastikan setiap urusan kerja selari dengan tuntutan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 38

message user image