Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Ustaz,
Saya Nurfathin ingin bertanyakan soalan dan mendapat penjelasan dari ustaz.Saya dan pasangan merupakan pasangan TTC yang masih belum dikurniakan zuriat,Jadi, kami bercadang untuk ikhtiar melalui IVF dan prosedur rawatan akan dijalankan pada bulan puasa nanti.Soalan saya.Sekiranya suami mengeluarkan air mani pada siang hari dalam bulan Ramadhan untuk tujuan ikhtiar zuriat(IVF),adakah suami perlu mengganti puasa selama 2 bulan berturut-turut dan memberi makan kepada 60 orang miskin atau hanya menggantikan puasa pada hari tersebut sahaja?Bolehkah ustaz perjelaskan.Terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Perbuatan mengeluarkan air mani (istimna') bukan melalui jalan persetubuhan pada siang hari Ramadhan adalah membatalkan puasa. Meskipun begitu, perbuatan ini tidak menyebabkan kaffarah ke atas suami tetapi hanya disyaratkan untuk menggantikan puasanya semula. Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab berkata:
Maksudnya: Jika seseorang beristimna’ secara sengaja, maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya.
Namun demikian, seseorang yang puasanya terbatal pada siang hari Ramadan akibat istimna’ tetap diwajibkan menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang ditegah untuk dilakukan pada siang hari Ramadan sebab menahan diri ini zahir batin dalam bulan Ramadhan adalah wajib kerana perintah Allah SWT berdasarkan perkataan KUTIBA dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Semuga dengan menjaga perintah ini, Allah akan berikan dan mudahkan nikmat yang dipohon.
Sekian, terima kasih.