Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,bolehkah saya kemas kini lafaz taklik
Contoh
1) sekiranya saya berlaku curang maka talak satu telah dijatuhakan
2) sekiranya saya melanggar taklik,semua harta dan aset saya muktamad jatuh pada isteri
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya pasangan boleh untuk membuat kemaskini taklik atau membuat taklik tambahan selain daripada taklik yang dibaca selepas akad nikah. Perkara ini tidak melibatkan proses mahkamah dan ia boleh dibuat antara suami dan isteri sahaja namun, untuk mengelakkan pertikaian pada masa akan datang, pasangan boleh menggunakan khidmat peguam atau mana-mana orang yang boleh menjadi saksi terhadap lafaz taklik tersebut.
Sebagai makluman dan peringatan, pasangan mesti memahami bahawa lafaz taklik selain daripada taklik yang dibaca selepas akad nikah itu, sekiranya dilanggar dan jatuh maka ia termasuk dalam kategori perceraian luar mahkamah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, iaitu sabit kesalahan suami boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Taklik talak juga tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik.
Sekian terima kasih