BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Kepada semua panel-panel yang dirahmati oleh Allah S.W.T

Saya ingin bertanya mengenai hak faraid dan juga situasi yang sedang bapa saya alami.

Bapa saya telah berjaya mendapat kan Sijil Perintah Faraid dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada October 2023. Sijil Faraid ini dikeluarkan kerana arwah adik beliau, perempuan dan telah meninggal dunia pada tahun 2018.

Untuk pengetahuan pihak panel, arwah adik beliau telah meninggalkan seorang suami dan tiga orang anak perempuan. Adik beradik bapa saya yang masih hidup seramai 5 orang lelaki dan 4 orang perempuan ketika ini. Ketika tuntutan hak si mati, suami arwah tidak memaklumkan kepada pihak mahkamah waris-waris kadim arwah isterinya dan hanya membuat tuntutan melalui sivil sahaja.

Setelah di siasat, ketika itu tiada seorang pun waris kadim bersetuju untuk melepaskan hak faraid tersebut. Untuk pengetahuan ahli panel semua, dari 9 adik beradik bapa saya yang hidup termasuk bapa saya. Hanya bapa saya dan adik lelaki beliau seorang OKU kategori bisu dan pekak sahaja yang membuat tuntutan ini.

Sehingga pada email ini dihantar, tuntutan masih lagi berjalan. Pihak Defendant hanya akur dengan tuntutan bapa saya dan untuk pakcik saya, pihak defendan tidak mahu membayar hak faraid tersebut kerana salah satu alasan mereka adalah pakcik saya tidak pandai menguruskan duit jika hak faraid tersebut diterima oleh pakcik saya dan lain-lain alasan.

Untuk pengetahuan pihak Panel, pakcik saya berumur 67 tahun hanya seorang bisu dan pekak. Beliau sihat anggota badan dan boleh menguruskan diri sendiri. Tujuan bapa saya cuba menuntut hak untuk adik beliau salah satunya untuk menebus semula kesalahan beliau kerana tidak bertanggungjawab ke atas adik beliau satu ketika dahulu dan memang pakcik saya layak mendapat hak faraid tersebut seperti mana di dalam Perintah Sijil Faraid.

Untuk pengetahuan ahli Panel, bapa saya adalah anak keempat dan anak lelaki kedua dari susunan adik beradik seramai 10 orang dan adik beliau yang OKU ini adalah anak ke 6. Sebelum ini bapa saya berusaha untuk mendapatkan hak pencen untuk adik beliau kerana datuk saya tidak memasukkan nama beliau sebagai waris yang layak menerima pencen terbitan. Selain itu juga bapa saya berusaha juga untuk mendapatkan bantuan-bantuan dari kerajaan yang layak untuk adik beliau. Tujuan bapa saya hanyalah satu sahaja, untuk mengurangkan beban yang akan ditanggung di dalam kubur dan seterusnya di padang Masyar.

Pihak Defendant iaitu adik ipar beliau melalui peguam mereka, Adik ipar bapa saya hanya bersetuju untuk memberikan hak faraid bapa saya sahaja dengan syarat beliau akan membayar hak faraid seperti mana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tetapi hak adik OKU tidak boleh diterima oleh pakcik saya kerana status beliau yang tidak pandai menguruskan wang tersebut dan lain-lain lagi tuntutan mereka. Jika bapa saya tidak bersetuju dengan perjanjian dari mereka, bapa saya perlulah mendapat persetujuan dari kesemua adik beradik yang lain untuk melantik beliau sebagai Pemegang Amanah kepada adik beliau yang OKU ini. Untuk pengetahuan ahli panel, hubungan adik beradik bapa tidak begitu baik. Tidak bercakap berpuluh tahun dan ada isu kekeluargaan antara mereka. Mana mungkin mereka akan bersetuju melantik bapa saya menjadi Pemegang Amanah. Dan kebanyakkan mereka berpihak kepada pihak Defendant. Ini menyulitkan lagi tuntutan kepada pakcik saya.

Di usia bapa saya yang ketika ini akan masuk ke 73 tahun, hanya tunggu bila-bila masa sahaja untuk dijemput oleh penciptanya, bapa saya sudah tidak larat untuk meneruskan perjuaangan adik beliau disamping kesihatan dan juga kewangan. Jika bapa saya tetap meneruskan untuk hak adik beliau, tidak pasti berapa lama proses akan berjaya dan yang pasti pihak defendant sengaja akan melewat-lewatkan tuntutan adik saya dengan mengemukan pelbagai Afidavit Tambahan.

Soalan saya;

1)Jika bapa saya menerima sahaja perjanjian dari mereka iaitu bersetuju untuk mendapatkan hak faraid bapa saya sahaja dan adik beliau tidak menerima hak faraid tersebut adakah bapa saya akan disalahkan oleh Allah.

2)Apakah ciri-ciri hak Faraid sesorang muslim terbatal dan tidak boleh dituntut?

3)Adakah pihak Defendant tetap akan bersalah kerana menepikan hak pakcik saya dengan memasukkan pelbagai alasan supaya pakcik saya tidak boleh menuntut hak Faraid tersebut walaupun bapa saya bersetuju dengan tuntutan dari mereka.

4)Jika kenyataan #3 bersalah adakah defendant serta anak-anak beliau dan ketururan mereka akan termasuk memakan hak batil pakcik saya.

Buat masa ini, pakcik OKU saya hidup dengan duit pencen dan bantuan JKM serta STR. Ini semua adalah hasil dari bapa saya mendapatkan semula hak adik beliau. Nikmat ini baru di rasainya dalam 3 tahun kebelakangan ini.

Apa yang saya lihat, pakcik saya terbiar tanpa penjagaan dari adik beradik yang lain. Tinggal di dalam stor. Dahulu hanya mendapat ehsan makanan dari orang awam. Mungkin ada bantuan dari adik beradik lain tetapi tidak tahu sejauh mana bantuan tersebut. Disebabkan itulah bapa saya berusaha untuk mendapatkan pencen untuk adik beliau. Perjalanan pakcik saya sangat sedih, dipukul hingga sekarang oleh kakak beliau yang berusia 79 tahun dan wajib membuat kerja dan macam-macam lagi penderaan fizikal dan mental. Sebagai rekod, datuk dan nenek saya dari pakcik saya kecil memang dibiarkan pakcik saya dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.

Mohon pihak panel dapat memberikan perjelasan dari soalan saya.

Terima kasih

Bagi Pihak

Haji Safri Bin Haji Yusoff

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan, pihak puan boleh rujuk sebagaimana jawapan berikut:

Jawapan bagi soalan 1:

Bapa puan tidak berdosa jika bapa puan menerima sahaja perjanjian dari mereka iaitu bersetuju untuk mendapatkan hak faraid bapa puan sahaja dan adik beliau tidak menerima hak faraid tersebut.

Jawapan bagi soalan 2:

Hak Faraid seseorang Muslim boleh terbatal dan tidak boleh dituntut jika mereka adalah dalam kategori membunuh pewarisnya sendiri, berlainan agama, murtad mahupun perhambaan.

  • Membunuh

Ulama telah sepakat bahawa membunuh adalah antara perkara yang menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka orang yang dibunuhnya. Hadis daripada Abdullah bin Amru R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ليس للقاتِلِ شيءٌ 

Maksudnya: Pembunuh tidak layak menerima apa-apa (mewarisi harta pusaka)(Riwayat Abu Daud)

  • Berlainan Agama

Perbezaan agama antara Islam dan bukan Islam akan menghalang kedua-duanya daripada mewarisi pusaka. Hadis daripada Usamah bin Zaid R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ

Maksudnya: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam. (Riwayat al-Bukhari)

  • Murtad

Seseorang yang murtad iaitu keluar daripada agama Islam tidak berhak mewarisi pusaka si mati beragama Islam. Ia sama dengan kedudukannya dengan mereka yang berlainan agama.

  • Perhambaan

Seseorang hamba yang masih dimiliki oleh tuannya tidak boleh mewarisi pusaka pewarisnya yang merdeka.

Jawapan bagi soalan 3 & 4:

Orang Kurang Upaya (OKU) tidak terhalang daripada mendapat hak faraid mereka atas kematian seseorang warisnya. Tambahan pula, menurut hukum syarak, golongan mereka ini tetap berhak ke atas bahagian pusaka kematian warisnya. 

Namun, pengurusan harta bagi golongan OKU ini perlulah dilantik wasi atau pemegang amanah atau pentadbir melalui perintah Mahkamah Syariah demi memastikan kebajikan mereka terjaga. Sekiranya golongan OKU tersebut mempunyai kecacatan fizikal tetapi tidak menjejaskan keupayaan mental untuk memahami dan mengurus harta, maka dia layak menguruskan bahagiannya sendiri tanpa melantik wasi.

Dalam situasi keluarga bapa puan, harta pusaka milik pakcik puan yang OKU itu tidak boleh dinafikan kerana beliau tetap layak dan berhak mewarisi mengikut hukum faraid, dan segala harta pusaka bahagian beliau ke atas kematian arwah adik perempuan bapa puan adalah milik mutlak beliau, bukannya sepenuhnya milik adik ipar bapa puan (suami arwah adik perempuan bapa). Lantaran itu, ketelusan dan kejujuran dalam menguruskan harta pusaka amatlah penting bagi mengelakkan dari termakan harta secara batil, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوْا بِهَآ اِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوْا فَرِيْقًا مِّنْ اَمْوَالِ النَّاسِ بِالْاِثْمِ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

Maksudnya: Janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.

Islam amat melarang keras perbuatan mengambil harta orang lain dengan cara yang tidak benar. Oleh yang demikian, dinasihatkan agar keluarga bapa puan dapat menyelesaikan dengan mengadakan perbincangan secara baik dan harmonni sesama ahli waris yang lain demi mengelakkan dari termakan harta secara batil dan menjaga hubungan silaturahim sesama mereka.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 75

message user image