Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Saya berkahwin dah selama 11tahun.. pada tahun ke-9 saya bernazar jika saya mengandung dapat anak, saya akan berpuasa selama sebulan...kemudian tahun ke-10 saya mengandung dan melahirkan anak...
Dan saya juga ada gastrik yg teruk..jika lambat makan pun kadang bole gastrik..semasa mengandung pun kena gastrik hampir tidak bole bernafas..dan jika pada bulan Ramadhan memang terlalu banyak saya tak boleh puasa sbb gastrik walaupun sudah bersahur dan sudah mkn ubat dan macam-macam cara lagi...
jadi persoalan saya..
saya tak mampu untuk tunaikan nazar berpuasa sebulan walaupun berselang seli hari..kerana puasa ganti Ramadhan pun masih lagi belum ditunaikan..jadi apa saya bole buat utk membayar denda nazar saya ni? Adakah saya perlu membayar fidyah utk puasa nazar saya Atau perlu kafarah nazar??
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang tidak mampu menunaikan nazar yang telah dilakukannya selepas berusaha, maka hendaklah membayar kaffarah nazar tersebut. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 89:
Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
Justeru, seseorang yang tidak mampu menunaikan nazarnya hendaklah melaksanakan kaffarah nazar iaitu dengan memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin mengikut uruf setempat atau membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak berkemampuan maka hendaklah berpuasa tiga hari
Sila kunjungi Pejabat Majlis Agama Islam terdekat atau klik pautan berikut untuk maklumat lanjut Kaffarah MAIS
Sekian, terima kasih.