Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam. Saya solat jumaat di masjid. Pada rakaat kedua, pada sujud pertama saya merasakan kepala saya terlampau rapat dengan badan. Jadi saya mengangkat kepala Dan perbetulkan sujud saya. Adakah batal solat saya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sujud hendaklah dilakukan dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujud dengan kadar thama'ninah, namun anggota sujud iaitu dahi merupakan anggota yang perlu diberi perhatian. Hal ini kerana, sekiranya dahinya terhalang oleh sesuatu ia dapat membatalkan sujud seseorang. Begitu juga sekiranya dia mengangkat dahinya setelah sujud tanpa sebarang keuzuran.
Hukum mengangkat kepala ketika sujud boleh dibahagikan kepada dua keadaan:
1) Mengangkat kepala tanpa uzur syar’ie – hukumnya boleh membatalkan sujud dan solat secara mutlak.
2) Mengangkat kepala dengan uzur syar’ie – Terdapat beberapa perincian:
Uzur syar’ie yang diiktibar syarak ialah seperti sujud di atas permukaan yang tajam, atau sujud di atas permukaan yang terlalu panas atau apa-apa permukaan yang dapat melukakan dan memberi mudarat kepada kepalanya, maka dibolehkan baginya untuk mengangkat dahinya dengan syarat sujudnya itu belum mencapai kadar thama'ninah.
Sekiranya sujudnya itu telah mencapai kadar thama'ninah (iaitu sekadar sebutan subhanallah), maka sujudnya itu terbatal kerana dia telah menambah rukun baru iaitu sujud di dalam solatnya dengan sengaja.
Justeru, jika tuan rasa kepala terlalu rapat hingga dagu atau dahi tidak menyentuh lantai (atau tempat sujud) dengan betul, maka mengangkat kepala sebentar untuk membetulkan ia adalah alasan yang dibenarkan syarak (uzur syarie). Namun sekiranya seseorang sujud di atas permukaaan tersebut dan telah mencapai kadar thama'ninah (iaitu sekadar sebutan subhanallah), maka dia tidak dibolehkan untuk mengangkat semula kepalanya. Sekiranya dia melakukan hal tersebut (mengangkat kepalanya) maka solatnya terbatal dan dia perlu mengulangi solatnya semula.
Sekian, terima kasih.