Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. Soalan saya, bolehkah kita menunaikan solat tahajud spt situasi begini.
Lepas solat magrib tertidur kerana penat dan bangun semula dalam jam 4 ke 5 pagi untuk solat isya'. Selepas solat isya' bolehkah terus solat tahajud?
Terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Solat tahajjud pada sudut istilah adalah solat sunat yang dikerjakan selepas bangun daripada tidur. Galakan mengerjakan ibadah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra' ayat ke-79:
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Demikian itu, solat tahajjud yang dikerjakan selepas solat isya' dan pada waktu bangun dari tidur adalah sah. Sebaik-baik waktu untuk mengerjakan solat tahajjud adalah pada 1/3 malam, namun hukum pelaksanaannya harus dikerjakan sepanjang waktu malam tersebut sebelum memasuki waktu subuh.
Sekian, terima kasih.