Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya adalah seorang tuan punya rumah kediaman di mana rumah tersebut telah disewakan kepada penghuni dari kumpulan asnaf. Sewa bulanan dibayar terus daripada lembaga zakat negeri kepada saya. Akibat kecuaian penghuni untuk memaklum lembaga zakat bahawa sewaan akan diteruskan ke tahun berikut, maka sewa bulanan pada tahun kedua telah dihentikan oleh lembaga zakat negeri dan tidak akan dibayar lagi. Penyewa menyatakan bahawa juga tidak mampu membayar sewaan yang tertunggak.
Bolehkah bil eletrik tertunggak (juga tidak dibayar oleh penyewa) dan semua sewaan bulanan yang tertunggak oleh penyewa yang juga dari kumpulan asnaf dikirakan sebagai zakat dan digunakan untuk pengurangan zakat yang wajib ke atas diri saya?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Pada asasnya zakat wajib diberikan kepada asnaf zakat sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat ke- 60:
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pembayaran zakat wajib ditunaikan dengan kaedah perpindahan hak milik harta zakat (tamlik) kepada golongan asnaf yang layak. Zakat tidak sah dengan cara pengguguran hutang kerana ia tidak dianggap sebagai pemberian harta baharu kepada asnaf. Oleh itu, segala tunggakan sewaan dan bil elektrik oleh penyewa asnaf tidak boleh dikira sebagai zakat secara langsung, dan tidak boleh digunakan untuk mengurangkan kewajipan zakat tuan rumah.
Di samping itu, sebarang pembayaran zakat hanya boleh diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor kerana mereka merupakan amil yang dilantik secara sah sebagaimana fatwa yang dikeluarkan. Tuan boleh membuat bacaan melalui pautan berikut:
Sehubungan dengan itu, disarankan kepada tuan untuk merujuk dan mendapatkan panduan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai pihak berautoriti yang menguruskan hal ehwal zakat di negeri Selangor Darul Ehsan.
Sekian, terima kasih.