Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, apakah hukumnya jika warna dan bau pada tempat najis tidak hilang walaupun telah dibasuh lebih dari sekali? Dalam kes saya, saya basuh alas tahi burung saya namun baunya dan warnanya yang terlalu kuat melekat walaupun telah diberus dgn sabun masih tidak hilang? Adakah ia dimaafkan? Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, jika telah dibasuh alas tempat najis burung tersebut beberapa kali dengan sabun dan juga telah diberus, maka sekiranya yang tinggal daripada sifat najis hanya bau dan warna yang samar-samar semata-mata adalah termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan ianya dikira suci. Ini kerana kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran untuk menghilangkannya adalah dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.