Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya ingin memohon penjelasan berkenaan hukum puasa. Saya berumur 23 tahun dan merupakan seorang wanita yang menghidap penyakit GERD kronik yang telah disahkan oleh pakar perubatan, sehingga keadaan tersebut menyebabkan sawan.
Bagi puasa tahun 2024, baki puasa ganti yang perlu saya laksanakan adalah sebanyak 9 hari daripada keseluruhan 16 hari. Saya telah berusaha untuk menggantikan puasa tersebut, namun apabila saya mencubanya, saya akan mengalami sawan serta kesakitan perut yang melampau.
Sehubungan itu, saya ingin memohon pandangan sama ada terdapat rukhsah (keringanan) yang dibenarkan oleh syarak dalam keadaan kesihatan seperti yang saya alami.
Saya dahului dengan ucapan terima kasih atas perhatian dan penjelasan yang diberikan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Puan hendaklah mendapatkan nasihat doktor untuk mengesahkan tahap kesihatan puan sama ada boleh berpuasa atau tidak. Penyakit Gastroesophageal Refluks (GERD) atau lebih mudah dikenali sebagai asid refluks, berlaku apabila asid dalam perut mengalir kembali ke saluran esofagus – tiub yang menghubungkan mulut dan perut. Masalah asid refluks ini boleh mengakibatkan kerengsaan pada lapisan esofagus dan simptom lain seperti pedih ulu hati, selalu muntah, kembung perut, batuk yang kronik, sukar bernafas dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan.
Sekiranya seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana mempunyai penyakit kronik yang menyebabkan mudarat dan tiada harapan sembuh dan mudarat jika berpuasa adalah harus meninggalkan puasa, tidak perlu qada puasa dan wajib membayar fidyah sahaja. Perkara ini seperti yang dikatakan oleh Ashab Shafi’iyyah bagi golongan orang tua yang menghadapi keletihan yang teruk jika berpuasa atau orang yang ada penyakit kronik yang tiada harapan sembuh.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184:
Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Untuk bacaan lanjut, sila rujuk artikel berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2025/04/08/fidyah-bagi-orang-yang-tidak-mampu-berpuasa-dan-tidak-berupaya-menggantinya/
Sekian, terima kasih.