Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Boleh saya tanya sekiranya boleh ke nak lakukan solat sunat selain solat sunat qabliyah sebelum solat fardhu subuh? Contohnya, saya nak buat solat sunat istikharah atau hajat.
Terima kasih.
Jawapan
Pada dasarnya, solat sunat boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun terdapat waktu-waktu tertentu yang dibataskan oleh syarak. Bagi waktu selepas masuk waktu Subuh, syariat Islam telah menetapkan bahawa solat sunat yang disunatkan secara khusus hanyalah solat sunat qabliyah Subuh sahaja.
Oleh itu, tidak disyariatkan untuk melakukan solat sunat lain seperti solat sunat istikharah, solat sunat hajat, solat sunat taubat atau solat sunat lain setelah azan Subuh dan sebelum solat fardhu Subuh ditunaikan kecuali solat sunat qabliyah subuh sahaja. Larangan ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Razaq, bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
Maksudnya: Tidak ada solat selepas terbitnya Fajar melainkan dua rakaat (sunat) Fajar. (Riwayat Abu Dawud)
Imam al-San’ani menyebut hadis di atas adalah dalil pengharaman solat sunat selepas terbitnya fajar sebelum menunaikan solat fardhu subuh melainkan solat sunat fajar sahaja. Namun demikian, solat sunat istikharah atau hajat boleh dilakukan sebelum masuk waktu subuh, iaitu pada waktu malam selepas solat Isyak hingga sebelum terbit fajar. Waktu tersebut merupakan waktu yang lebih afdal, terutamanya jika dilakukan bersama solat sunat malam seperti tahajjud dan diakhiri dengan solat witir. Selain itu, solat sunat lain juga boleh dilakukan selepas menunaikan solat fardhu subuh, dengan syarat menunggu sehingga matahari terbit dan naik sedikit (selepas waktu syuruk), kerana pada waktu tersebut larangan solat telah tamat. Kesimpulannya, solat sunat selain qabliyah subuh tidak dibenarkan dilakukan selepas masuk waktu subuh, namun boleh dilaksanakan sama ada sebelum masuk waktu Subuh atau selepas tamat waktu larangan solat, selaras dengan ketetapan hukum syarak.
Sekian, terima kasih.