Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, apakah batal solat jika mengulang salam pertama dua kali. Semasa beri salam pertama ke kanan, saya ucapkan assalamualaikum sahaja, kemudian saya ulang semula dgn assalamualaikum warahmatullah. Baru saya buat salam kedua. Adakah saya perlu solat semula?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat tersebut tidak batal dan tidak perlu diulang. Berdasarkan Mazhab Syafi‘i, rukun salam yang wajib bagi mengakhiri solat ialah memberi salam sekurang-kurangnya sekali, iaitu dengan lafaz “Assalamualaikum”. Menambah lafaz “warahmatullah” adalah sunat dan merupakan kesempurnaan salam.
Dalam keadaan saudari memberi salam pertama ke kanan dengan lafaz “Assalamualaikum”, maka rukun salam tersebut telah pun sempurna dan sah. Apabila salam itu diulang semula dengan lafaz yang lebih lengkap (“Assalamualaikum warahmatullah”), perbuatan tersebut tidak membatalkan solat kerana ia masih berada dalam bentuk zikir dan lafaz yang berkaitan dengan salam, bukan perbuatan atau perkataan asing yang membatalkan solat. Ia dikira sebagai tambahan lafaz sahaja, bukan pembatal rukun.
Salam kedua ke kiri pula adalah sunat, dan melaksanakannya selepas itu juga tidak menjejaskan kesahan solat. Kesimpulannya, solat tersebut adalah sah, tidak batal dan tidak wajib diulang. Namun, untuk masa akan datang, disarankan agar lafaz salam dilaksanakan dengan tertib dan sekali sahaja bagi setiap salam, sama ada dengan lafaz minimum “Assalamualaikum” atau lafaz sempurna “Assalamualaikum warahmatullah”, bagi mengelakkan kekeliruan dan was-was.
والله أعلم بالصواب