BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.

Tuan/Puan,

Saya ingin memohon penjelasan berkenaan pelaksanaan solat Jamak dan Qasar. Insya-Allah, saya akan bermusafir ke luar negara selama 8 hari, dan ingin mendapatkan kepastian sama ada saya dibenarkan untuk melakukan Jamak dan Qasar sepanjang tempoh tersebut.

Sepanjang keberadaan saya di sana, terdapat juga pergerakan ke lokasi lain yang melebihi dua marhalah, namun tanpa bermalam dan akan kembali ke tempat penginapan pada hari yang sama. Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan panduan sama ada saya boleh terus melaksanakan Jamak dan Qasar, atau perlu menunaikan solat secara sempurna (tamam) seperti biasa.

Untuk rujukan pihak tuan/puan, berikut saya lampirkan ringkasan itinerari perjalanan:

  1. 31/12/2025 – Bertolak ke Tokyo

  2. 01/01/2026 – Sekitar Tokyo

  3. 02/01/2026 – Sekitar Tokyo

  4. 03/01/2026 – Sekitar Tokyo

  5. 04/01/2026 – Perjalanan ke Fuji (melebihi dua marhalah dari Tokyo), dijangka pulang ke Tokyo pada sebelah petang

  6. 05/01/2026 – Perjalanan ke Gala (melebihi dua marhalah dari Tokyo), dijangka pulang ke Tokyo pada sebelah petang

  7. 06/01/2026 – Sekitar Tokyo

  8. 07/01/2026 – Pulang ke Malaysia

Saya amat menghargai panduan dan penjelasan daripada pihak tuan/puan agar pelaksanaan ibadah saya lebih tepat dan menepati hukum syarak. 

Semoga tuan/puan dalam rahmat Allah.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara syarat sah bagi melakukan solat secara jamak dan qasar adalah; 

  1. Perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah (81 km).
  2. Perjalanan yang tentu tujuannya (bukan merayau).
  3. Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
  4. Perjalanannya telah melepasi sempadan qaryah.
  5. Tidak berniat menetap selama 4 hari atau lebih di tempat yang dituju (tidak termasuk hari datang & pulang).

Berdasarkan kepada itinerari yang diberikan, Tokyo merupakan tempat bermukim puan kerana mengikut keberadaan puan di Tokyo akan melebihi 4 hari tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Justeru, setibanya puan di Tokyo maka puan perlu menyempurkan solat secara tamam bukan jamak dan qasar. Adapun sepanjang perjalanan puan ke Fuji dan Gala dibenarkan mengambil rukhsah solat jamak dan qasar kerana ia merupakan musafir yang baru yang melebihi 2 marhalah dan setibanya puan sampai semula ke Tokyo maka puan tidak dibenarkan melakukan solat jamak dan qasar semula.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 12

message user image