Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Apakah hukum seorang suami yang ingin menunaikan haji seorang diri menggunakan pakej swasta mahal tetapi culas memberi nafkah asas/wajib isteri dari awal perkahwinan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari,seorang suami wajib menunaikan nafkah asas isteri sejak awal perkahwinan, dan kewajipan ini mesti didahulukan berbanding ibadah haji. Jika seorang suami culas atau mengabaikan nafkah wajib isteri, maka dia berdosa, dan dalam keadaan tersebut dia belum dianggap mampu (istita‘ah) untuk menunaikan haji, lebih-lebih lagi menggunakan pakej swasta yang mahal.
Walaupun haji yang dilakukan sah dari sudut hukum fiqh, perbuatannya tetap salah dan berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab wajib terhadap isteri. Oleh itu, nafkah isteri hendaklah diselesaikan terlebih dahulu, barulah haji menjadi kewajipan yang dituntut ke atasnya. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa', ayat 19:
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
Sekian, terima kasih.