BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, soalan saya harta dari riba adakah boleh di jual beli balik, sebagai contoh kereta si A telah habis bayar bulanan dibawah bank konvensional(riba) dan ingin menjual keretanya kepada si B adakah hasil jual beli itu sah? Adakah si B turut menjadi musuh Allah SWT?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, jual beli kereta si A kepada si B adalah sah kerana ia merupakan akad berasingan yang tidak melibatkan riba. Jual beli tersebut mestilah memenuhi syarat jual beli yang telah ditetapkan syarak serta memastikan kereta tersebut telah selesai bayaran ansuran dan hak milik kereta telah berpindah milik sepenuhnya sehingga layak untuk dijual. 

Adapun begitu, dosa riba hanya terikat kepada pinjaman asal iaitu si A yang membuat pinjaman konvensional untuk pembelian kereta. Adalah sepatutnya, seseorang yang terlibat dengan riba hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk selesaikan pinjaman tersebut atau membatalkan pembelian kerana pengharaman riba telah jelas dan Allah SWT melarang umat Islam terlibat dengan riba sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا 

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba

Oleh itu, jika terlibat dengan riba hendaklah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT atas segala kesilapan lalu yang dilakukan. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image