Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya sering mendapati feed dari media sosial berkaitan khasiat membaca Al Fatihah dengan jumlah tertentu bagi memohon sesuatu hajat.
Setelah diteliti, saya tidak menemukan sebarang hadith berkenaan hal ini. Namun, melalui pembacaan lanjut, saya dapat fahami bahawa ianya adalah suatu amalan yang dianjurkan oleh sesetengah ulamak berpandukan kitab sheikh Muhyiddin Al Arabi.
Adakah boleh saya beramal dengan amalan ini ? Mohon penjelasan agar saya tidak salah dalam amalan. Terima kasih
Jawapan
Bacaan Surah al-Fatihah dan ayat suci al-Quran yang lain boleh diamalkan seberapa banyak yang dikehendaki mengikut kemampuan seseorang. Memang benar terdapat beberapa saranan dan ikhtiar ulama dalam mengamalkan jumlah bacaan tertentu bagi surah-surah tertentu. Perkara ini disebut sebagai tajribah ulama atau testimoni ulama iaitu para ulama melakukan percubaan dengan mengamalkan bacaan tertentu dengan cara tertentu. Daripada amalan tajribah ini, khasiat-khasiat tertentu boleh diperoleh mengikut individu dengan izin Allah SWT. Setiap amalan yang diamalkan berbeza-beza khasiatnya kepada setiap indvidu. Oleh itu ia disebut sebagai testimoni kerana faedah atau khasiat amalan tertentu adalah berbeza-beza mengikut indvidu.
Memang benar, kebanyakan amalan seperti ini tiada hadis mahupun ayat al-Quran yang menyebut secara khusus berkenaan kaifiyat dan khasiat amalan-amalan ini. Mahupun begitu, hukumnya adalah harus selagi mana cara pengamalannya menepati syarak iaitu tiada unsur-unsur kesyirikan dan hendaklah berpegang bahawa khasiat suatu amalan adalah atas izin Allah SWT.
Walaupun tidak menjadi satu kesalahan untuk beramal dengan suatu amalan bagi mendapatkan faedah atau khasiat tertentu, akan tetapi tetaplah berusaha dan perbaiki niat beramala hanyalah kerana untuk mendapatkan reda Allah SWT.
Sekian, terima kasih.