Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Kemusykilan saya :
Saya mempunyai 11 org adik beradik termasuk saya iaitu 6 perempuan dan 5 lelaki.
Saya bekerja sendiri dan pendapatan tidak menentu. Urusan niaga saya tidak menjadi malah manambah hutang dari masa ke semasa. Hidup cukup sempit.
Ibubapa dan keluarga serta kenalan memberi bantuan.
Ibubapa saya membantu saya dgn wang ringgit yg diperolehi melaui Pencen ayah, jual tanah, gadai emas dll.
Kini kedua ibubapa telah kembali ke Rahmatullah.
Kehidupan saya dari sehari ke sehari berubah dan Alhamdulillah wang yg disekat oleh Bank sebab saya bangkrap telah dapat di lepaskan dan akaun2 saya di aktifkan semula.
Kini saya berhasrat membayarkan semua wang2 yg d berikan oleh Arwah Ibu dan Arwah Ayah. Jumlah nya saya tidak pasti tetapi saya anggarkan Ibu - RM500k dan Ayah - RM500k ( Jumlah Besar - RM 1 juta ).
Masa ibu dan Ayah bantu saya tiada akad diantara kami ( ibu, ayah dan saya ).
Saya cadang hendak memasukan wang RM1 juta itu ke dalam akaun abg saya dan daripada situ boleh adik beradik saya bermuafakat arah tuju wang tersebut iaitu samaada d Faraid atau d agih sama rata d antara mereka. Saya mohon d kecualikan.
Persoalan saya :
1. Adakah Wang RM1 juta itu dikira Wang Pusaka? Dan wajib d agihkan mengikut Hukum Pusaka atau Faraid?
2. Jika bukan Wang Pusaka maka boleh kah wang tersebut d agihkan sama rata d antara adik beradik saya?
Saya mohon pencerahan drp pihak SS Dato' Mufti. Terima Kasih.
Wassalammualaikum Waramatullahi Wabarakatuh.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, wang RM1 juta itu bukanlah dikategorikan sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada ahli waris yang lain. Hal yang demikian kerana niat dan hasrat ibu bapa tuan pada ketika mereka masih hidup hanyalah ingin membantu tuan untuk menjalani kehidupan tuan agar menjadi lebih baik.
Namun, sekiranya tuan berhasrat untuk memberikan RM1 juta kepada waris-waris atas kematian ibu dan bapa tuan, ianya dianggap sedekah dan perbuatan tersebut merupakan suatu amal yang mulia di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261:
Maksudnya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir; pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
Allah SWT menyatakan bahawasanya sesiapa yang bersedekah kerana Allah SWT, maka ganjaran yang diperolehi amat besar dengan dijamin balasan berlipat ganda, menghapuskan dosa, menjadi amal jariah dan banyak lagi. Begitu juga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 26:
Maksudnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
Namun, dalam situasi tuan, sekiranya tuan berhasrat untuk memberikan RM1 juta kepada waris-waris atas kematian ibu dan bapa tuan, maka terpulang kepada tuan untuk membahagikan secara sama-rata bagi setiap seorang atau mana-mana kaedah yang lebih baik demi menjaga silaturahim sesama persaudaraan yang lebih utama.
Sekian, terima kasih.