BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT,

Saya inginkan pencerahan berkenaan taklik yang dinyatakan oleh suami seperti "jika aku curang lagi, jatuh talak 1". 

Perkara ini berlaku pada tahun 2023 dan saya tidak melaporkan pada mahkamah untuk pengesahan kerana saya sedang sarat mengandung ketika itu dan akhirnya terlupa.

Sekarang ini, saya ingin membuat pengesahan dengan mahkamah tetapi saya risau kalau suami tidak menceritakan perkara yang sebenarnya yang berlaku di mahkamah. Bagaimana ya?

 

Terima kasih. 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Lafaz suami puan "jika aku curang lagi, jatuh talak 1" adalah merupakan lafaz talak taklik dalam bentuk insya'ie dan sekiranya benar lafaz itu diungkapkan suami dan berlaku pelanggaran syarat taklik tersebut iaitu suami melakukan perbuatan curang maka ia boleh menyebabkan jatuhnya talak. Akan tetapi sekiranya tidak berlaku pelanggaran terhadap syarat taklik itu, maka talak tidak jatuh.

Walaupun lafaz taklik itu telah lama dilafazkan namun puan tetap boleh melaporkannya kepada Mahkamah Syariah kerana secara teknikalnya tiada tempoh luput untuk mana-mana pihak memohon pengesahan taklik. Mahkamah Syariah tetap menerima permohonan pihak-pihak walaupun ia berlaku bertahun-tahun dahulu, asalkan ada keterangan yang munasabah atau saksi yang boleh memberi keterangan terhadap permohonan tersebut.

Berkaitan kebimbangan puan seandainya suami tidak bercakap benar di mahkamah pula, perkara seumpama ini sebenarnya memang sering berlaku dan mahkamah sudah ada cara menangani hal ini. Antaranya, mahkamah akan mengambil keterangan kedua-dua pihak secara berasingan dan mahkamah menilai mana keterangan yang lebih kukuh berdasarkan bukti, saksi, sejarah hubungan, dan konsistensi cerita dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 30

message user image