BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hak saya sebagai seorang isteri berhubung nafkah zahir seperti wang saku, perbelanjaan saya dan anak-anak dari segi makan, tempat tinggal, pakaian dan lain-lain. Sepanjang perkahwinan saya dari tahun 2001 hingga sekarang 2019 suami tidak pernah memberi nafkah duit walaupun saya pernah meminta rm10.00 hanya untuk membeli makanan. Suami memberi pelbagai alasan dan pernah dia memarahi saya dengan meminta saya pergi cari suami lain hanya kerana saya meminta rm10.00. Saya tidak faham kerana sebelum ini suami yang berjawatan tinggi dan gaji lebih tinggi dari saya tidak pernah memberi wang saku dan sekarang pula suami telah hilang pekerjaan kerana kontraknya telah tamat tetapi suami ada membuat pekerjaan lain seperti membuat mygrab dan baru-baru ini pula suami telah membeli sebuah lot kedai utk dijadikan kedai makan dan kedai runcit. Namun begitu masih juga memarahi saya ketika saya meminta sedikit duit untuk keperluan barang-barang dapur dan sebagainya. Suami juga amat suka mengungkit di depan rezeki ketika makan bersama dengan 4 orang anak saya dengan mengatakan makanan yang dibeli itu mahal. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, pemberian nafkah suami kepada isterinya adalah mengikut kemampuan suami, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (al-Baqarah : 233) Firman Allah SWT yang bermaksud : “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”. (at-Talaq: 6) والله أعلم بالصواب Dalil-dalil di atas menjelaskan bahawa suami bertanggungjawab memberikan tempat tinggal, makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya, melainkan sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan kepada isteri, maka dalam situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RHA katanya yang bermaksud : “Sesungguhnya Hindun datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata : “Wahai Rasulullah SAW, Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda : “Ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar” (Riwayat al-Bukhari) Hadith ini menegaskan bahawa Islam membenarkan bagi isteri mengambil harta suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anaknya, jika suaminya mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya. Jika suami yang bakhil dicela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan suami itu telah melanggari hak isteri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat Islam. Isteri boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah sama ada mahu memberi belanja atau menceraikannya. Adapun, sebaiknya permasalahan ini hendaklah dikemukakan ke pihak Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk khidmat nasihat kekeluargaan dan tindakan yang sewajarnya. Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 176

message user image