Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada persoalan,
Dalam kisah Mariah al-Qibtiyyah yang diriwayatkan atau diceritakan oleh Dhahhak RA:
أَنَّ حَفْصَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، زَارَتْ أَبَاهَا ذَاتَ يَوْمٍ وَكَانَ يَوْمَهَا، فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرَهَا فِي الْمَنْزِلِ، أَرْسَلَ إِلَى أَمَتِهِ مَارِيَةَ الْقِبْطِيَّةِ، فَأَصَابَ مِنْهَا فِي بَيْتِ حَفْصَةَ، وَجَاءَتْ حَفْصَةُ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَفْعَلُ هَذَا فِي بَيْتِي وَفِي يَوْمِي؟ قَالَ: «فَإِنَّهَا عَلَيَّ حَرَامٌ، وَلَا تُخْبِرِي بِذَاكَ أَحَدًا» . فَانْطَلَقَتْ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَأَخْبَرَتْهَا بِذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ}إِلَى قَوْلِهِ: {وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ} فَأُمِرَ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْ يَمِينِهِ، وَيُرَاجِعَ أَمَتَهُ".
Maksudnya: “Bahawa Hafsah telah menziarahi ayahnya pada suatu hari dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW pulang ke rumah, Baginda SAW tidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda SAW mengutuskan kepada hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Setelah itu, Rasulullah SAW telah bersama dengannya di rumah Hafsah (menggaulinya). Tidak lama kemudian, Hafsah pulang ketika Rasulullah SAW dalam keadaan tersebut. Hafsah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?”. Maka Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya dia (Mariah) haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa akan hal ini”. Hafsah keluar ke rumah Aisyah RA lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya ayat Allah SWT “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga firman Allah SWT “serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman” lalu Baginda SAW diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya”. [Lihat: Sunan Said bin Mansur, 1:438]
Persoalan saya,apakah Rasulullah SAW memang mengetahui Mariah al-Qibtiyyah halal bagi baginda ataupun baginda tidak mengetahuinya sebelum turunnya ayat Allah SWT ?
Mohon penjelasan.
Jawapan
Hadis yang dinyatakan melalui riwayat Said bin Mansur daripada jalur al-Dahhak mempunyai asal daripada pelbagai riwayat seperti riwayat Umar al-Khattab RA yang direkodkan oleh al-Daruqutni dan riwayat Anas bin Malik RA yang direkodkan oleh al-Nasa'i dan al-Hakim. (rujuk: al-Talkhis al-Habir)
Berdasarkan soalan yang diajukan, Rasulullah SAW sememangnya tahu bahawa Mariah al-Qibtiyyah adalah halal bagi Baginda SAW. Hal ini kerana yang dimaksudkan menerusi hadis ini adalah Nabi SAW bersumpah mengharamkan dirinya untuk bersama lagi dengan Mariah al-Qibtiyyah. Setelah itu turunlah firman Allah SWT daripada Surah al-Tahrim ayat 1. Hadis ini menceritakan tentang kaffarah sumpah dan ini menjadi dalil kepada kaffarah bagi sesiapa yang mengharamkan dirinya bersama (bersetubuh) dengan orang yang dihalakan baginya seperti isteri atau hamba. (rujuk: Tafsir Ibn Kathir)
Sekian, terima kasih.