BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin memohon penjelasan berkaitan satu urus niaga emas yang dijalankan oleh seorang tauke kedai emas melalui satu permainan (game) yang diadakan pada hujung tahun. Tujuan permainannya adalah untuk bersedekah dan memberi peluang kepada orang ramai, termasuk golongan kurang berkemampuan dapat membeli emas pada harga yang lebih rendah. Penjual turut memaklumkan bahawa harga rendah tersebut ditawarkan kerana beliau telah memperoleh keuntungan daripada jualan emas pada harga biasa sepanjang tahun, dan oleh itu permainan ini hanya dijalankan pada hujung tahun sahaja.

Sebelum permainan bermula, penjual telah menerangkan semua syarat kepada para peserta. Penjual akan memaparkan gambar barang kemas, contohnya gelang emas, dan memaklumkan anggaran beratnya sekitar 3 gram. Gelang tersebut ditawarkan pada harga RM150 sahaja. Pembayaran hanya dibuka selama 10 minit dan terhad kepada bilangan tertentu sahaja, contohnya 100 unit. Sekiranya bayaran dibuat selepas tempoh ditetapkan atau selepas kuota penuh, wang akan dipulangkan semula.

Penjual juga memaklumkan lebih awal bahawa barang kemas tersebut tidak akan diserahkan serta-merta. Penghantaran akan dibuat pada bulan tertentu yang telah ditetapkan kerana penjual perlu mengambil kira jumlah pembeli yang berjaya membuat bayaran sebelum menempah barang kemas tersebut daripada pihak kilang. Sebagai contoh, pembayaran untuk permainan ini telah diselesaikan pada 12.12.25 dan penghantaran gelang tersebut akan dibuat bermula pada bulan 5/2026.

Berdasarkan situasi ini, apakah hukum urus niaga tersebut (halal atau haram) menurut syarak apabila bayaran dibuat terlebih dahulu tetapi penyerahan gelang itu ditangguhkan, walaupun semua syarat telah dimaklumkan dan dipersetujui sejak awal? Sebab atas pemahaman saya, barang kemas perhiasan tak termasuk dalam golongan barang ribawi seperti jongkong dan syiling emas serta pembelian secara online adalah dibenarkan. 

Mohon pencerahan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Secara umumnya terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam urusan jualbeli emas, syarat ini berasaskan kepada hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah bin Samit RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, barli dengan barli, gandum dengan gandum, garam dengan garam, mestilah sama timbangannya dan jual beri tunai, maka jika jual beli dengan barang yang berbeza jenis maka juallah sepertimana yang kami mahu asalkan secara tunai. (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas, dapat difahami bahawa jual beli emas dengan selain jenisnya seperti duit adalah dibolehkan dengan syarat ia berlaku secara tunai iaitu berlaku serah barang dan terima harga dalam majlis akad jual beli iaitu secara lani atau on the spot. Ini bermaksud, jika jual beli tersebut dibuat secara tangguh maka ia dikategorikan sebagai riba nasi’ah yang diharamkan.

Namun begitu berdasarkan Garis Panduan Parameter Pelaburan Emas yang dikeluarkan oleh JAKIM menyatakan bahawa: Syarat-syarat tersebut (yang disebutkan di atas) adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi. sila rujuk pautan garis panduan Parameter Pelaburan Emas JAKIM

Oleh yang demikian, berdasarkan garis panduan yang disebutkan di atas dibolehkan untuk puan melakukan jual beli seperti yang digambarkan di dalam soalan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 45

message user image